Perlumbaan Bot Laju Pesta Meradong Ditangguhkan Demi Keselamatan
BINTANGOR: Perlumbaan bot laju yang menjadi antara acara tumpuan Pesta Meradong 2026 terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu serta faktor keselamatan peserta dan orang ramai.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa yang kurang sesuai untuk memastikan perlumbaan berkenaan dapat dilaksanakan dengan selamat.
Menurutnya, walaupun acara yang dinanti-nantikan itu tidak dapat berlangsung mengikut jadual asal, ia bukan bermakna perlumbaan tersebut dibatalkan, sebaliknya hanya ditangguhkan sehingga keadaan mengizinkan.
“Acara yang ditunggu-tunggu ini hanya ditangguhkan, bukan dibatalkan. Kita perlu mengutamakan keselamatan peserta dan orang ramai sebelum perlumbaan dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Pesta Meradong 2026 di Bintangor pada Sabtu.
Ujarnya, keadaan cuaca yang berubah-ubah sepanjang tempoh penganjuran memerlukan pihak penganjur membuat pertimbangan sewajarnya, khususnya bagi acara yang melibatkan aktiviti di sungai.
Katanya, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan berbanding memastikan sesuatu acara berlangsung mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan yang mencapai paras tidak sihat turut perlu diambil kira kerana boleh menjejaskan kesihatan peserta serta orang ramai.
“Dalam keadaan seperti ini, kita tidak boleh mengambil mudah soal kesihatan dan keselamatan. Lebih baik acara ditangguhkan supaya ia dapat diteruskan pada masa yang lebih sesuai dan dalam keadaan yang lebih selamat,” katanya.
Menurutnya, perlumbaan bot laju mempunyai daya tarikan tersendiri kerana mampu menarik penyertaan dari pelbagai kawasan, sekali gus menjadi antara aktiviti yang membantu memperkenalkan Bintangor kepada pengunjung dari luar.
Beliau berharap pihak penganjur dapat menjadualkan semula perlumbaan berkenaan pada masa yang bersesuaian dengan mengambil kira keadaan cuaca, kesihatan dan tahap keselamatan yang lebih terjamin.-EDISI UKAS