Pesta Meradong 2026 Tirai Labuh, Perpaduan Komuniti Terus Diperkukuh
MERADONG: Pesta Meradong 2026 melabuhkan tirainya dalam suasana meriah dan penuh semangat perpaduan, sekali gus mencerminkan komitmen masyarakat setempat dalam memartabatkan keharmonian serta memperkasa identiti daerah itu.
Majlis penangguhan yang berlangsung di Pentas Pesta Meradong pada Sabtu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama Datin Kueh Nai Fun serta Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab.
Menurut Dato Ir. Yusuf, sambutan pesta tahunan itu semakin mendapat perhatian dan berjaya menarik kehadiran pengunjung dari pelbagai daerah, sekali gus membuka peluang kepada orang ramai untuk mengenali keunikan Meradong.
Beliau berharap penganjuran pada masa akan datang dapat dipertingkatkan dengan lebih banyak pengisian program serta skala lebih besar bagi merancakkan sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi setempat.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Tebingan Sungai Bintangor dijangka dinaik taraf pada tahun hadapan susulan permohonan daripada Datuk Ding yang diyakini mampu memberikan wajah baharu serta meningkatkan daya tarikan kawasan tersebut.
Walaupun beberapa acara terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan berikutan keadaan jerebu, beliau menegaskan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat Meradong tetap utuh sehingga memastikan penganjuran berlangsung dengan jayanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Meradong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Meradong 2026, Wee Teck Min, Pengerusi MAKSAK Wanita Daerah Meradong, Sonia Hii, Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering serta Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau, Stephen Lau Chi Sing.-EDISI UKAS