'Segulai Sejalai’ Terus Mekar Menjelang Hari Malaysia Ke-63
KUCHING: Semangat ‘Segulai Sejalai’ yang menjadi pegangan masyarakat Sarawak terus menjadi cerminan keharmonian dan kebersamaan menjelang Sambutan Hari Malaysia Ke-63 yang bakal diraikan pada 16 September ini.
Lebih bermakna, Sarawak sekali lagi diberi kepercayaan menjadi tuan rumah Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 dengan acara kemuncak berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Penganjuran itu bukan sahaja menjadi medan memperingati sejarah pembentukan Malaysia, malah membuka ruang untuk mengetengahkan kepelbagaian etnik, budaya dan agama serta keharmonian masyarakat Sarawak kepada seluruh negara.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Ahad mendapati semangat perpaduan, toleransi dan kekayaan budaya menjadi antara perkara yang paling dibanggakan masyarakat mengenai Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Bagi Venno Veenhoven, keharmonian masyarakat yang unik, khususnya dari aspek hubungan antara kaum dan toleransi agama, merupakan antara kekuatan utama Sarawak.
Beliau berkata, kepelbagaian yang disatukan menerusi semangat ‘Segulai Sejalai’, kekayaan budaya dan alam semula jadi serta kestabilan sosio-politik menjadikan Sarawak begitu istimewa.
“Perkara yang paling membanggakan tentang Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia ialah model keharmonian, perpaduan kaum dan toleransi agama yang unik, yang sering diiktiraf sebagai negeri contoh terbaik buat seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Daffiella Marsaille menyifatkan peluang Sarawak sekali lagi menjadi tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan sebagai sesuatu yang membanggakan dan menggembirakan, khususnya bagi anak jati Sarawak.
Menurutnya, sambutan tersebut bukan sekadar medan meraikan Hari Malaysia, malah menjadi medium untuk mengeratkan hubungan masyarakat serta memperkenalkan tradisi, budaya dan keunikan Sarawak kepada rakyat dari seluruh negara.
“Saya berasa bangga, gembira dan teruja apabila Sarawak sekali lagi menjadi tuan rumah Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.
“Sebagai anak jati Sarawak, saya berasa inilah medium terbaik yang boleh digunakan untuk mengeratkan hubungan masyarakat madani, sekali gus memperkenalkan tradisi, budaya dan keunikan negeri Sarawak kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Allysha Langkie berkata, Hari Malaysia yang disambut pada 16 September membawa makna besar sebagai tarikh memperingati pembentukan Malaysia pada 1963.
Beliau berharap semangat kebersamaan yang menjadi identiti masyarakat Sarawak dapat terus dipupuk dan dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Semoga semangat ‘Segulai Sejalai’ dan perpaduan terus mekar dalam jiwa setiap rakyat Malaysia,” jelasnya.-EDISI UKAS