Pesta Meradong Beri Limpahan Ekonomi Kepada Bintangor
BINTANGOR: Penganjuran Pesta Meradong 2026 bukan sahaja merancakkan aktiviti masyarakat, malah memberi limpahan ekonomi kepada penduduk dan peniaga tempatan menerusi peningkatan kehadiran pengunjung sepanjang festival berkenaan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, kemeriahan acara selama kira-kira dua minggu itu dapat dilihat menerusi peningkatan kunjungan ke premis makanan, penginapan serta perniagaan tempatan di sekitar Bintangor.
Menurutnya, kehadiran pengunjung dari luar kawasan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat apabila permintaan terhadap makanan, produk tempatan dan kemudahan penginapan turut meningkat.
“Bila orang luar datang ke Bintangor, manfaatnya bukan hanya dirasai di tapak pesta. Kedai makan, kedai kopi, hotel dan peniaga hasil tempatan turut menerima limpahan daripada kehadiran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penangguhan Pesta Meradong 2026 di Pentas Utama Pesta Meradong, Bintangor pada Sabtu.
Beliau berkata, hasil tempatan seperti udang, nanas, hasil hutan dan makanan tradisional turut berpotensi menjadi tarikan kepada pengunjung yang datang dari luar kawasan.
Malah, katanya, sambutan terhadap pesta itu turut memberi kesan kepada sektor penginapan apabila kemudahan homestay menerima permintaan tinggi sepanjang penganjuran.
Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran pada masa akan datang dapat terus diperluaskan supaya lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan untuk usahawan, peniaga dan pengusaha tempatan.
Beliau turut menggalakkan pengunjung yang hadir berkongsi pengalaman mereka menerusi media sosial bagi membantu memperkenalkan Bintangor dan Meradong kepada lebih ramai orang.-EDISI UKAS