Pendekatan Kreatif, Kontemporari Pastikan Warisan Sape’ Terus Relevan
MIRI: Pendekatan kreatif dan kontemporari penting dalam memastikan warisan muzik sape’ terus relevan, khususnya dalam menarik penglibatan generasi muda tanpa menjejaskan keaslian tradisi masyarakat Orang Ulu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, konsep ‘Reimagined’ membolehkan elemen tradisional digabungkan dengan sentuhan kontemporari, sekali gus memberi ruang kepada generasi baharu dan penggiat seni meneroka idea serta bentuk persembahan baharu.
“Ini yang menjadikan seni budaya sentiasa relevan dan mampu menarik minat generasi muda serta masyarakat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Susan Clement Ingun pada Majlis Malam Penutupan Sape’ Fest: Reimagined 2026 di Pusat Beli Belah Bintang Megamall, di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Snowdan, sape’ bukan sekadar alat muzik tradisional, sebaliknya merupakan lambang identiti, sejarah dan jiwa masyarakat Orang Ulu yang membawa kisah, nilai kehidupan, adat resam serta kebijaksanaan yang diwarisi turun-temurun.
Beliau berkata, usaha memperkasa warisan berkenaan perlu dilaksanakan secara berterusan dengan memberi ruang kepada generasi muda untuk mempelajari, menghargai dan mengembangkan seni sape’ dalam bentuk yang sesuai dengan perkembangan semasa.
Katanya, pengisian festival seperti pameran sejarah dan asal usul sape’, bengkel asas permainan sape’, Jatung Utang dan Selingut serta persembahan generasi baharu dapat memperluas pendedahan terhadap warisan tersebut.
Dalam masa sama, beliau berkata, kepelbagaian seni, budaya dan warisan Sarawak merupakan antara kekuatan penting dalam memperkenalkan keunikan negeri ini kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
Sehubungan itu, ujar beliau, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) terus menyokong usaha yang menggalakkan pertukaran budaya, pembangunan kapasiti serta kerjasama dalam bidang seni dan warisan.
Menurutnya, inisiatif seperti Sape’ Fest bukan sahaja membantu memperkukuh identiti budaya tempatan, malah berpotensi menjadi medium diplomasi budaya untuk memperkenalkan keunikan Sarawak dan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Konsert berkenaan turut menampilkan persembahan Tarian Sape Movement, Kumpulan Miri Sape Movement, One Journey daripada PUSAK, persembahan khas New Generation serta Tarian Rampaian Kumpulan Sape Movement Miri sebagai persembahan penutupan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi PUSAK, Elizabeth Bungan Peter, serta Presiden Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak, Romulus Charles Agan Raja. —EDISI UKAS