Sape’ Fest Perkasa Muzik Tradisional Sape’ Dalam Kalangan Generasi Muda
MIRI: Sape’ Fest: Reimagined 2026 memperluas usaha mengetengahkan muzik tradisional sape’ menerusi pendekatan kreatif dan kontemporari bagi menarik minat generasi muda terhadap warisan budaya Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, sape’ bukan sekadar alat muzik tradisional, sebaliknya merupakan sebahagian daripada warisan budaya Sarawak yang mencerminkan kisah, tradisi dan identiti masyarakat pribumi negeri ini.
Menurut beliau, pendekatan generasi baharu pemuzik yang menggabungkan bunyi unik sape’ dengan elemen muzik kontemporari dan persembahan kreatif mampu memberi nafas baharu kepada warisan tersebut supaya terus relevan.
“Walaupun kita perlu sentiasa memelihara dan menghormati tradisi, kita juga harus menggalakkan golongan muda dan penggiat seni meneroka idea baharu serta kaedah baharu dalam mempersembahkan warisan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Konsert Sape’ Fest: Reimagined 2026 di pusat beli belah Bintang Megamall, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian berkata, penganjuran Sape’ Fest turut menyediakan platform kepada pemuzik dan bakat kreatif tempatan untuk mengetengahkan kebolehan mereka, selain memperkenalkan keunikan budaya Sarawak kepada pengunjung dari luar negeri dan antarabangsa.
Katanya, kepelbagaian budaya Sarawak merangkumi muzik, tarian, pakaian tradisional, kraftangan, makanan dan perayaan yang bukan sahaja membentuk identiti negeri, malah mempunyai potensi sebagai aset pelancongan.
Sehubungan itu, beliau berharap Sape’ Fest: Reimagined dapat terus berkembang dan menjadi antara acara budaya serta muzik penting di Miri dan Sarawak.—EDISI UKAS