MLBB BK13 Youth Tournament Perkasa Potensi Belia Batu Kitang
KUCHING: Penganjuran MLBB BK13 Youth Tournament 2026 menjadi platform memperkasa potensi golongan belia di kawasan Batu Kitang menerusi penglibatan dalam aktiviti e-sukan.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, e-sukan bukan sekadar permainan dalam talian, malah mampu membentuk kemahiran kepimpinan, disiplin, kreativiti dan kerja berpasukan dalam kalangan belia.
Menurut beliau, semangat kerjasama yang diterapkan dalam e-sukan turut boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian termasuk dalam organisasi, perniagaan dan pelbagai bidang lain.
“Prinsip kerjasama dalam e-sukan terpakai dalam kehidupan sebenar seperti organisasi, perniagaan mahupun politik. Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan MLBB BK13 Youth Tournament 2026 di Dewan Masyarakat Batu 10, Kota Padawan, di sini, Ahad.
Sehubungan itu, Senator Dato’ Ahmad turut menggalakkan para peserta supaya menjadikan penglibatan dalam e-sukan sebagai ruang membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan semangat kesukanan.
Beliau turut mengingatkan golongan belia supaya menjaga sahsiah, mengawal emosi serta mengamalkan disiplin sepanjang menyertai pertandingan.
Dalam pada itu, katanya industri e-sukan kini menawarkan pelbagai peluang kerjaya kepada golongan muda, bukan sahaja sebagai pemain, malah dalam bidang penganjuran acara, ulasan permainan, pemasaran digital dan keusahawanan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penglibatan dalam e-sukan perlu diseimbangkan dengan pendidikan, kesihatan dan tanggungjawab harian.
Pertandingan yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu bakal diakhiri dengan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah sekitar jam 5.00 petang yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang merangkap Pengerusi SABERKAS Batu Kitang Dato’ Ir. Lo Khere Chiang.
MLBB BK13 Youth Tournament 2026 dianjurkan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (SABERKAS) Cawangan Batu Kitang dengan kerjasama Persatuan Komuniti Bumiputera Batu Kitang Kuching.
Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Timbalan Pengerusi PBB Batu Kitang merangkap Naib Pengerusi SABERKAS Batu Kitang, Cr. Samsudin Unai, Kapitan Lim Eng Kok; Pengerusi Persatuan Komuniti Bumiputera Batu Kitang, Omar Mahmud barisan kepimpinan SABERKAS dan PBB Batu Kitang serta wakil masyarakat setempat. -EDISI UKAS