Pertandingan Dart PBB Pantai Damai Cungkil Bakat Baharu
KUCHING: Pertandingan Dart Antara Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai 2026 menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan dart selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli parti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek ubtuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pertandingan itu bukan sekadar medan persaingan, malah memberi peluang kepada pemain berpotensi untuk diketengahkan bagi mewakili kawasan Pantai Damai pada pertandingan akan datang.
Menurut beliau, penganjuran pertandingan itu memberi ruang kepada ahli untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta memperkukuh kerjasama dalam memperkemaskan organisasi parti di kawasan masing-masing.
“Penyertaan golongan muda juga amat digalakkan kerana aktiviti berteraskan sukan mampu menarik minat mereka untuk melibatkan diri dalam program yang sihat dan bermanfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pertandingan Dart Antara Ranting PBB DUN Pantai Damai 2026 di Wisma Sabati, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga ADUN Pantai Damai berharap lebih banyak pertandingan seumpama itu dapat dianjurkan oleh ranting-ranting lain pada masa hadapan bagi memperluaskan penyertaan masyarakat serta memupuk budaya kesukanan.
Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan PBB Pantai Damai Merdihi Mas, Ketua Wanita Cawangan PBB Pantai Damai Rosmah Zaini, Ketua Pemuda Cawangan PBB Pantai Damai Abdul Adzim Abdul Rahman, Ketua Sayap Belia Cawangan PBB Pantai Damai, Nurashniza Ashwi serta Pengerusi Pengelola Pertandingan Dart Antara Ranting PBB DUN Pantai Damai Nazri Abdul Rahman.- EDISI UKAS