SELANGOR: Wajah keluarga yang terbayang ketika saingan semakin mencabar menjadi kekuatan buat Vicky Ran Jeffrey untuk menundukkan tekanan, sebelum bangkit daripada tempat keempat bagi menghadiahkan pingat perak kepada Sarawak pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026.
Lebih bermakna, pencapaian tersebut hadir pada penampilan sulung atlet berusia 28 tahun dari Lawas itu di pentas Para SUKMA, sekali gus menjadi detik istimewa dalam perjalanan kariernya.
Vicky berkata, sokongan ibunya yang sentiasa berada di belakangnya sejak awal, selain keluarga, jurulatih, pengurus pasukan dan kontinjen Sarawak menjadi pencetus semangat untuknya terus fokus ketika berdepan tekanan saingan.
“Semasa bertanding tadi saya hanya ingat keluarga saya, mak saya yang menyokong saya dari awal, sepupu dan semua keluarga.
“Saya juga ingat kepada jurulatih yang telah berkorban masa untuk mendidik saya, selain pengurus pasukan dan pasukan Sarawak yang memberikan sokongan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas majlis podium acara 70m ‘Round Recurve’ Individu Lelaki PI2, di sini pada Ahad.
Sokongan tersebut menjadi pembakar semangat buat Vicky untuk tidak menyerah selepas mendapati dirinya berada di tempat keempat pada awal saingan.
Dalam keadaan itu, dia memilih untuk terus memberikan segala kemampuan sehingga berjaya memintas pesaing lain dan melonjak ke kedudukan kedua untuk membawa pulang pingat perak.
“Saya sangat teruja dan tidak sangka kerana pada awalnya saya berada di tempat keempat.
“Dalam masa yang sama saya berusaha semampu yang boleh dan tidak sangka mampu memintas sehingga mendapat tempat kedua,” katanya.
Bagi Vicky, pingat perak itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya turut menjadi penghargaan terhadap keluarga serta barisan jurulatih dan pasukan yang tidak putus memberikan sokongan sepanjang persiapannya menghadapi temasya.
Namun, kejayaan tersebut tidak membuatkan atlet dari Lawas itu berasa selesa dengan pencapaian yang diraih.
Sebaliknya, beliau mengakui masih belum berpuas hati dan percaya dirinya mampu menghasilkan prestasi lebih baik pada masa akan datang.
“Sejujurnya saya masih belum berpuas hati dengan apa yang saya capai dan saya rasa saya boleh buat lebih baik.
“Untuk masa akan datang, saya akan berusaha lebih keras,” katanya. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi