Yang Di-Pertuan Agong Perkenan Tamatkan Darurat Di Seluruh Serian
KUCHING: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan penamatan pengisytiharan darurat bagi seluruh Bahagian Serian pada hari ini susulan keadaan jerebu yang beransur pulih.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata dalam satu kenyataan, perkenan tersebut dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pandangan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta laporan agensi berkaitan yang menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Bahagian Serian tidak lagi berada pada paras bahaya.
“Bagaimanapun, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya dengan bacaan IPU di beberapa kawasan, khususnya Serian dan Samarahan, masih berada pada tahap amat tidak sihat,” menurut kenyataan PMO pada Isnin.
PMO menambah, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan terus memantau keadaan jerebu dengan rapi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
PMO turut menasihati penduduk di kawasan terjejas supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa. -EDISI UKAS