Sentuhan Midas Richard Leburkan Kesemua Acara Kepada Emas
SELANGOR: Bagaikan apa sahaja yang disentuh bertukar menjadi emas, atlet para olahraga Sarawak, Richard Bada, melengkapkan misi sempurnanya di Stadium UiTM Shah Alam apabila menyapu bersih kesemua tiga acara yang disertainya dalam kategori F41 Lelaki, termasuk mencipta dua rekod baharu kejohanan.
Bagi Richard, pencapaian tersebut bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya hadiah buat rakan sepasukan serta seluruh Sarawak yang sentiasa memberikan sokongan.
“Saya berasa sangat bangga dan gembira kerana dapat memecahkan rekod dalam dua acara. Persaingan kali ini agak sengit berbanding edisi sebelum ini kerana ramai pencabar baharu.
“Kemenangan tiga emas ini saya hadiahkan khas buat rakan-rakan sepasukan dan seluruh Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan acara Lempar Cakera F41 Lelaki, di sini pada Selasa.
Atlet berusia 33 tahun dari Kampung Segenam, Serian itu membuka tirai emas menerusi acara Lontar Peluru F41 Lelaki pada 7 September dengan catatan 8.09 meter, bukan sahaja memastikan emas pertama buat dirinya, malah meleburkan rekod kejohanan terdahulu.
Belum sempat saingan reda, Richard sekali lagi membuktikan kelasnya pada sebelah malam apabila memenangi acara Merejam Lembing F41 Lelaki dengan lontaran 22.85 meter, sekali gus mencipta rekod kejohanan kedua.
Pada hari ketiga kejohanan, sentuhan emasnya diteruskan menerusi Lempar Cakera F41 Lelaki apabila catatan 24.76 meter sudah cukup untuk menjarakkan beliau daripada pencabar terdekat, Ammar Zill Qayyim dari Terengganu yang merekodkan 20.08 meter, manakala atlet Kelantan, Nazhan, berada di tempat ketiga dengan 18.57 meter.
Lebih bermakna, tiga emas tersebut diraih menerusi tiga disiplin berbeza, sekali gus menyerlahkan konsistensi Richard dalam menguasai acara balingan sepanjang temasya kali ini. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi