Kerjasama Sarawak-MARA Perkukuh Ekosistem Keusahawanan Di Lawas
LAWAS: Kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan di Lawas menerusi penyediaan bimbingan, latihan, kemudahan serta sokongan pembangunan perniagaan kepada usahawan tempatan.
Usaha berkenaan turut membuka ruang lebih luas kepada usahawan, khususnya Bumiputera di kawasan luar bandar, untuk meningkatkan kapasiti dan mengembangkan perniagaan sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi setempat.
Peranan MARA dalam menyokong pembangunan keusahawanan itu antara yang diberi perhatian Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika mengadakan lawatan ke Pejabat MARA Daerah Lawas di sini.
Lawatan berkenaan memberi gambaran mengenai peranan dan perkhidmatan yang disediakan MARA di peringkat daerah, termasuk bentuk sokongan kepada usahawan dalam membangunkan serta memperkukuh perniagaan mereka.
Datuk Amar Awang Tengah kemudian mengunjungi DD Kopitiam, sebuah premis perniagaan yang menerima kemudahan dan sokongan MARA bagi melihat perkembangan serta operasi perniagaan usahawan tempatan.
Beliau turut mengunjungi Tagajia Studio, sebuah premis perkhidmatan kecantikan tempatan yang menawarkan antaranya perkhidmatan penjagaan rambut, rawatan kuku tangan dan kaki serta sambungan bulu mata.
Lawatan ke kedua-dua premis itu memperlihatkan perkembangan perniagaan tempatan serta potensi sektor perkhidmatan dalam menjana aktiviti ekonomi dan membuka peluang kepada usahawan di Lawas.
Pada masa sama, kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan agensi Kerajaan Persekutuan seperti MARA penting dalam memperluas peluang pembangunan ekonomi dan keusahawanan kepada masyarakat, terutama di kawasan luar bandar serta wilayah utara Sarawak.
Usaha berterusan itu dijangka dapat meningkatkan kapasiti usahawan tempatan, membantu mereka mengembangkan perniagaan serta merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Lawas dan kawasan sekitarnya.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pegawai MARA Daerah Lawas Mohd Reduan Kaseh.-EDISI UKAS