Miri Sasar Bergelar Bandar Kreatif UNESCO Dalam Tempoh Setahun
KUCHING: Miri menyasarkan untuk bergelar Bandar Kreatif UNESCO dalam bidang sastera dalam tempoh setahun, dengan penganjuran Sarawak Literature Festival 2026 menjadi antara platform penting dalam memperkukuh usaha ke arah pengiktirafan antarabangsa itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, aspirasi Miri untuk menyertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN) dalam bidang sastera merupakan usaha besar yang bukan sekadar mengejar gelaran antarabangsa, sebaliknya membina ekosistem sastera yang mampan.
“Saya berharap pengiktirafan itu dapat dicapai dalam tempoh setahun. Pustaka sudah memberikan jaminan mengenainya dan ia bergantung kepada pasukan yang terlibat untuk menyediakan dokumen serta menguruskan urusan dengan pihak di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sarawak Literature Festival 2026 di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini pada Selasa.
Dato Sri Abdul Karim menambah, aspirasi berkenaan bermatlamat memperkukuh ekosistem sastera Miri serta mewujudkan legasi berkekalan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat di bandar raya itu, wilayah utara Sarawak, negeri ini dan Malaysia secara keseluruhannya.
Menurutnya, Sarawak Literature Festival 2026 merupakan sebahagian daripada perjalanan Miri ke arah pengiktirafan UNESCO dengan festival itu berperanan membina momentum serta membuktikan komitmen terhadap pembangunan ekosistem sastera yang mampan.
Katanya, kekuatan Miri sebagai bandar raya berbilang budaya yang kaya dengan kepelbagaian komuniti, bahasa, tradisi dan cerita turut menjadi asas penting dalam merealisasikan aspirasi tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, kekayaan cerita dan warisan Sarawak mempunyai potensi besar untuk dikembangkan melangkaui penerbitan buku kepada filem, animasi, teater, kandungan digital, pengalaman pelancongan serta produk kreatif.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha mendapatkan pengiktirafan berkenaan perlu digerakkan secara bersama dan tidak seharusnya dilihat sebagai projek agensi kerajaan semata-mata.
Sebaliknya, ia memerlukan penglibatan menyeluruh termasuk penulis, guru, pelajar, golongan muda, masyarakat pribumi, penerbit, penggiat budaya serta komuniti bagi membina ekosistem sastera yang kukuh.
Sarawak Literature Festival 2026 dijadual berlangsung dari 23 hingga 27 September di Stadium Tertutup Miri dengan mengetengahkan konsep yang melangkaui pesta buku konvensional.
Festival itu bakal menghimpunkan penulis, penerbit, pendidik, perpustakaan, pelajar, penggiat budaya, pemain industri kreatif serta komuniti dalam usaha meraikan dan memperkasa dunia kesusasteraan Sarawak.-EDISI UKAS