125 Klinik Kesihatan Sarawak Masih Berdepan Kekangan Internet
PAKAN: Sebanyak 125 klinik kesihatan di Sarawak masih berdepan kekangan capaian internet, sekali gus memerlukan intervensi digital bagi memastikan operasi dan penyampaian perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan pedalaman, dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Banges Munga berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menyambut baik usaha memperluas intervensi digital menerusi Program MADANINET, terutama melibatkan klinik yang terletak jauh dari pusat bandar.
Menurutnya, capaian internet yang lebih baik penting bagi menyokong keperluan operasi fasiliti kesihatan selain memperkukuh aspek komunikasi dan penggunaan kemudahan digital.
“Usaha seperti ini amat membantu kerana isu yang dihadapi dapat dikenal pasti secara terus di lapangan, sekali gus membolehkan tindakan yang bersesuaian dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program MADANINET 2026 di Klinik Kesihatan Nanga Wak dan Klinik Kesihatan Nanga Kara di sini pada Isnin.
Mengambil contoh Klinik Kesihatan Nanga Wak, Banges berkata, fasiliti berkenaan dikendalikan lapan kakitangan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada kira-kira 3,000 penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, jumlah penduduk yang bergantung kepada sesebuah klinik menunjukkan kepentingan capaian internet yang baik dalam menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan secara lebih cekap.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak klinik kesihatan, khususnya di kawasan pedalaman, dapat diberikan perhatian menerusi program lawatan dan intervensi seperti MADANINET.-EDISI UKAS