Perpustakaan Perubatan Jadi Pemacu Transformasi Kesihatan Digital Sarawak
KUCHING: Perpustakaan perubatan kini berkembang sebagai komponen strategik dalam ekosistem kesihatan dengan menyokong perubatan berasaskan bukti, analisis data raya serta pembentukan dasar kesihatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian berkata, peranan perpustakaan perubatan tidak lagi terhad sebagai pusat penyimpanan maklumat, sebaliknya turut menyumbang kepada pembangunan sistem kesihatan berasaskan teknologi.
“Perpustakaan perubatan bukan sekadar pusat simpanan maklumat atau tempat orang ramai mencari maklumat semata-mata, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membentuk perubatan berasaskan bukti serta penggubalan dasar kesihatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Seminar Perpustakaan Perubatan Asia 2026 (AMLIS 2026) di Muzium Budaya Borneo, di sini, pada Selasa.
Datuk Amar Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, data raya yang dimiliki perpustakaan perubatan boleh dimanfaatkan melalui analisis data bagi memperkukuh penyelidikan dan perancangan dasar kesihatan awam.
Jelasnya, transformasi digital turut membuka peluang kepada Sarawak untuk melakukan lonjakan teknologi dalam memperkasa ekosistem kesihatan negeri secara menyeluruh.
Menurut beliau, ekosistem kesihatan tersebut merangkumi pelbagai sektor termasuk pelancongan perubatan, penemuan ubat-ubatan baharu, penyelidikan serta integrasi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu menangani kekurangan doktor.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) atas kepercayaan memilih Sarawak sebagai tuan rumah seminar perpustakaan perubatan peringkat ASEAN yang julung kali dianjurkan di Malaysia.
AMLIS 2026 berlangsung selama dua hari, dari 8 hingga 9 September 2026, bertemakan “Empowering Health Knowledge: The Future Role of Medical Libraries in Asia” dan menghimpunkan kira-kira 150 peserta terdiri daripada pustakawan perubatan, pengamal kesihatan, pakar akademik, pelajar dan penyelidik dari Malaysia serta rantau Asia.
Program tersebut turut menampilkan penceramah jemputan dari Thailand, Republik Korea, India, Hong Kong, Australia, Taiwan, Indonesia dan Singapura.
Seminar berkenaan memberi tumpuan kepada transformasi perpustakaan perubatan dalam ekosistem kesihatan digital, pengukuhan peranan pustakawan dalam penyelidikan klinikal dan dasar, merapatkan jurang maklumat kesihatan komuniti serta pembangunan perpustakaan perubatan yang inovatif dan bersedia untuk masa hadapan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Kumpulan Perkhidmatan Perpustakaan Perubatan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), Nurazlina Abd Rahman, Pegawai Tadbir Khas, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Penasihat Seminar Perpustakaan Perubatan Asia 2026 (AMLIS 2026), Datuk Dr. Rashidah Bolhassan serta Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit. - EDISI UKAS