RM480,000 UNIFOR Perkasa Kemudahan Rumah Ibadat Di Pedalaman Mulu
MULU: Peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM480,000 disalurkan kepada dua rumah ibadat di pedalaman Mulu bagi menyokong pembangunan, penambahbaikan dan penyelenggaraan kemudahan untuk kegunaan komuniti setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, penyaluran peruntukan berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap keperluan rumah ibadat tanpa mengira lokasi, agama dan latar belakang masyarakat.
Menurut beliau, bantuan UNIFOR yang disalurkan secara berterusan penting bagi memastikan rumah ibadat di kawasan pedalaman turut mendapat sokongan sewajarnya.
“Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin terhadap keperluan semua komuniti tanpa mengira agama dan latar belakang. Melalui UNIFOR, bantuan disalurkan secara berterusan bagi menyokong keperluan rumah ibadat serta memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan cek peruntukan UNIFOR kepada dua rumah ibadat di kawasan Taman Negara Gunung Mulu, pada Ahad.
Pada majlis tersebut, Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau menyerahkan RM250,000 kepada Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Long Terawaan, manakala Gereja St Philip menerima RM230,000.
Datuk Gerawat menambah, peruntukan tersebut dapat membantu meningkatkan keadaan kemudahan rumah ibadat supaya lebih selesa, selamat dan sesuai digunakan oleh komuniti setempat.
Menurutnya, sokongan berkenaan juga memberi manfaat kepada masyarakat pedalaman yang memerlukan kemudahan rumah ibadat yang lebih baik untuk kegunaan komuniti.-EDISI UKAS