Kerjasama ADB Pacu Projek Tenaga, Pembangunan Rendah Karbon Sarawak
MANILA: Kerjasama strategik dengan Asian Development Bank (ADB) penting dalam menyokong usaha Sarawak merealisasikan projek pembangunan berskala besar, khususnya dalam sektor tenaga, teknologi dan pembangunan rendah karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama itu membolehkan idea serta teknologi baharu diterjemahkan kepada projek yang berdaya maju menerusi sokongan kepakaran, teknologi dan pembiayaan yang kompetitif.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berskala besar bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan perancangan teliti, keyakinan pihak berkepentingan serta penyelesaian terhadap aspek kos dan pembiayaan.
“Apabila kita melaksanakan idea baharu, ia tidak mudah. Kita perlu meyakinkan pihak berkepentingan dan persoalan seterusnya ialah kos,” ujarnya dalam sesi Fireside Chat bersama ADB di Multifunction Hall, Ibu Pejabat ADB di sini, pada Selasa.
Jelas beliau, kerjasama berterusan dengan ADB penting bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan mempunyai asas ekonomi dan teknologi yang kukuh, selain berdaya maju dari segi pembiayaan.
Dalam menentukan hala tuju pembangunan, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak kini semakin selektif dalam memilih industri yang mahu dibawa masuk dengan mengambil kira nilai tambah kepada ekonomi negeri.
Beliau memberi contoh industri pusat data yang perlu dinilai bukan sekadar berdasarkan jumlah pelaburan, tetapi juga dari segi peluang pekerjaan, penggunaan tenaga serta daya tahan teknologi dalam jangka panjang.
“Pusat data hanya seperti gudang yang menyimpan data. Dari segi penciptaan pekerjaan, saya rasa ia tidak begitu banyak,” jelasnya sambil menyatakan bahawa Sarawak perlu memberi tumpuan kepada industri masa depan yang mempunyai potensi perkembangan teknologi, bukannya hanya berdasarkan keperluan semasa.
Hadir sama menyaksikan sesi berkenaan ialah Duta Besar Malaysia ke Filipina, Dato’ Abdul Malik Melvin Castelino Anthony, Naib Presiden (Penyelesaian Pasaran) ADB, Bhargav Dasgupta, Ketua Pengarah Southeast Asia Regional Department (SERD), Nianshan Zhang, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar,dan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad (SEB) & Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Datuk Ibrahim Baki.
Turut hadir ialah Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Datu Laura Lee Ngien Hion, Pengarah Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak, Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin, Ketua Pegawai Kewangan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Mohd Azha Abdul Jalil, Pengarah Eksekutif Malaysia, Amiruddin Muhamed, Ketua Bahagian, Bahagian Perancangan Bandar dan Wilayah Unit Perancangan Ekonomi, Robita Lee Robinson; Timbalan Ketua Pengarah SERD, Pavit Ramachandran, Ketua Unit Akses Maklumat ADB, Susann Roth serta beberapa kenamaan lain.
Sesi Fireside Chat bertemakan Powering ASEAN’s Sustainable Future: Sarawak’s Role in Energy, Connectivity, and Green Growth itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Premier Sarawak ke Ibu Pejabat ADB yang turut merangkumi pertemuan dengan Presiden ADB, Masato Kanda dan Lembaga ADB.-EDISI UKAS