Premier Sarawak Tekad Tinggalkan Legasi Pembangunan Untuk Generasi Akan Datang
MANILA: Pembangunan Sarawak perlu dirancang dengan berpandangan jauh agar manfaatnya bukan sahaja dinikmati rakyat hari ini, malah dapat diwarisi generasi akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pemimpin mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap perancangan pembangunan hari ini mampu meninggalkan legasi yang memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat.
Menurut beliau, pendekatan itu menjadi asas kepada perancangan jangka panjang Sarawak merangkumi pelbagai sektor termasuk tenaga, teknologi, pengangkutan dan pembangunan ekonomi.
“Apabila kita berada di sini, kita perlu meninggalkan satu legasi yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Perubahan merupakan satu-satunya perkara yang berterusan dan masyarakat perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan serta menjangka perkembangan yang bakal berlaku,” katanya dalam sesi Fireside Chat bersama Asian Development Bank (ADB) di Multifunction Hall, Ibu Pejabat ADB di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata, teknologi baharu memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan pembangunan negeri, termasuk keputusan Sarawak menggunakan teknologi hidrogen bagi sistem pengangkutan awam Transit Aliran Autonomi (ART).
Menurut beliau, meskipun teknologi baharu lazimnya melibatkan kos tinggi pada peringkat awal, kos berkenaan berpotensi menurun seiring perkembangan teknologi dan peningkatan kecekapan.
“Hidrogen memang mahal pada masa ini, tetapi mungkin ada teknologi baharu yang akan mengurangkan kos menghasilkan hidrogen,” jelasnya.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, pembangunan Sarawak perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi, kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Tegasnya, ketiga-tiga aspek itu perlu bergerak seiring bagi memastikan pembangunan Sarawak kekal mampan dan terus memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka panjang. -EDISI UKAS