MADANINET Tingkat Kecekapan Perkhidmatan Kesihatan Digital
PAKAN: Program MADANINET 2026 membuka ruang kepada peningkatan kecekapan pengurusan klinik luar bandar melalui penggunaan kemudahan digital, khususnya dalam penyampaian rekod perubatan dan komunikasi dengan pihak ibu pejabat.
Timbalan Menteri Digital Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pemerkasaan kemudahan digital di fasiliti kesihatan pedalaman penting bagi mengurangkan jurang perkhidmatan antara masyarakat luar bandar dan bandar.
Menurutnya, akses teknologi yang lebih baik membolehkan pengurusan rekod perubatan dilakukan dengan lebih pantas dan teratur, sekali gus menyokong kelancaran operasi klinik.
“Keupayaan menggunakan kemudahan digital dengan lebih berkesan akan membantu klinik mengurus dan menyalurkan rekod perubatan dengan lebih pantas kepada pihak ibu pejabat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Program MADANINET 2026 di Klinik Kesihatan Nanga Wak dan Klinik Kesihatan Nanga Kara, di sini, pada Isnin.
Datuk Wilson berkata, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan terus bekerjasama memperluas liputan jalur lebar internet di seluruh Sarawak, termasuk kawasan pedalaman yang masih berdepan cabaran capaian.
Katanya, usaha itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan kemajuan teknologi dinikmati secara menyeluruh, selain menyokong agenda negara ke arah Negara AI 2030.
Beliau turut memberi jaminan akan terus menyokong pelaksanaan program seumpama MADANINET di kawasan pedalaman lain bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam berasaskan teknologi.- EDISI UKAS