Pakan Sokong Usaha Perkasa Kemudahan Digital Klinik Pedalaman
PAKAN: Usaha memperkasa kemudahan digital di Klinik Kesihatan Nanga Wak dan Klinik Kesihatan Nanga Kara mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom.
Menurut Tan Sri William, pertambahan penduduk di Pakan memerlukan kemudahan awam, termasuk infrastruktur digital, terus dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan semasa.
“Program seperti ini amat baik kerana memberi tumpuan kepada isu capaian internet di klinik pedalaman, khususnya Nanga Wak dan Nanga Kara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Program MADANINET 2026 di Klinik Kesihatan Nanga Wak dan Klinik Kesihatan Nanga Kara, di sini, pada Isnin.
Tan Sri William berkata, pelaksanaan program berkenaan turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan dalam mengenal pasti keperluan sebenar di kawasan luar bandar.
Katanya, pendekatan turun padang membolehkan keadaan serta kekangan di lokasi dikenal pasti dengan lebih tepat sebelum tindakan penambahbaikan dilaksanakan.
“Pendekatan seperti ini penting supaya penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira keadaan dan keperluan setempat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Digital Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Kementerian Digital Malaysia atas pelaksanaan MADANINET di Pakan.
Beliau berharap usaha berkenaan dapat menyokong kelancaran operasi klinik serta penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman.- EDISI UKAS