MADANINET Bakal Diperluas Ke Lebih Banyak Klinik Pedalaman
PAKAN: Program MADANINET bakal diperluas ke lebih banyak klinik pedalaman di seluruh Malaysia, termasuk fasiliti kesihatan yang masih memerlukan sokongan rangkaian digital.
Setiausaha Kementerian Digital Malaysia, Dato Fabian Bigar berkata, peluasan berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan menerusi usaha mengenal pasti klinik yang memerlukan kemudahan digital bagi menyokong urusan komunikasi dan penyampaian maklumat.
“Apabila kemudahan seperti MADANINET tersedia, urusan penghantaran rekod pesakit boleh dilaksanakan dengan lebih pantas dan ini secara tidak langsung memudahkan hubungan kerja antara klinik dengan ibu pejabat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada pelaksanaan Program MADANINET 2026 di Klinik Kesihatan Nanga Wak dan Klinik Kesihatan Nanga Kara, di sini, pada Isnin.
Katanya, kedua-dua klinik berkenaan merupakan lokasi terbaharu menerima pelaksanaan MADANINET di Sarawak, selepas enam klinik kesihatan lain turut menerima kemudahan tersebut sebelum ini.
Enam klinik berkenaan ialah Klinik Kesihatan Ba’Kelalan, Klinik Kesihatan Balai (Bakam), Klinik Kesihatan Bario, Klinik Kesihatan Batu Danau, Klinik Kesihatan Pa’Dallih dan Klinik Kesihatan Paloh.
Menurut Dato Fabian, setakat ini sebanyak 21 pelaksanaan MADANINET telah dijalankan di seluruh Malaysia, termasuk enam fasiliti kesihatan di Sarawak.
Beliau berkata, pelaksanaan program di kawasan pedalaman membantu memperkemas komunikasi serta mempercepatkan penyampaian maklumat antara klinik dengan pihak ibu pejabat.
Dalam pada itu, Kementerian Digital Malaysia akan terus mengenal pasti klinik lain yang memerlukan sokongan serupa sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kemudahan digital ke kawasan luar bandar.
Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan manfaat pembangunan jaringan digital negara turut dirasai oleh fasiliti kesihatan yang terletak di kawasan pedalaman.- EDISI UKAS