Hospital Baharu Lawas Perluas Akses Rawatan Kesihatan Rakyat
LAWAS: Hospital Daerah Lawas yang baharu bakal memperluas akses serta meningkatkan kapasiti dan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Lawas dan kawasan sekitarnya menerusi penyediaan kemudahan yang lebih lengkap dan moden.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hospital berkenaan direka bentuk dengan mengambil kira aspek moden, fungsi, praktikaliti dan keselamatan bagi mewujudkan persekitaran lebih selesa kepada pesakit dan kakitangan.
“Memang hospital baharu ini ada ciri-ciri yang moden, tetapi yang penting adalah fungsi, kedua praktikal dan ketiga dari segi unsur-unsur keselamatan diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan tinjauan ke tapak Projek Pembinaan Hospital Daerah Lawas, pada Selasa, bagi melihat perkembangan terkini projek serta memastikan pelaksanaannya berjalan lancar mengikut perancangan.
Menurutnya, aspek keindahan dan persekitaran turut diberi perhatian menerusi penyediaan kawasan lapang serta landskap bagi meningkatkan keselesaan pesakit, kakitangan dan pengunjung.
Hospital berkenaan turut dilengkapi sektor dialisis dengan 17 unit, sekali gus membolehkan pesakit mendapatkan rawatan dengan lebih mudah dan selesa tanpa perlu mendapatkan rawatan di luar daerah.
Kemudahan yang lebih lengkap itu dijangka dapat meningkatkan akses penduduk kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih komprehensif, selain mengurangkan kebergantungan mendapatkan rawatan di luar daerah.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata penyerahan projek kepada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan dijangka dilaksanakan pada 14 September ini.
Beliau turut menegaskan keperluan penyediaan doktor dan kakitangan kesihatan yang mencukupi perlu diberi perhatian bagi memastikan kemudahan hospital baharu tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, isu kekurangan tenaga kerja kesihatan bukan hanya dihadapi di Lawas, malah merupakan cabaran yang turut berlaku di seluruh Sarawak dan perlu ditangani secara berterusan.
Hospital baharu itu diharapkan dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di Lawas, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat setempat.- EDISI UKAS