KUCHING: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) terus memperkukuh ekosistem Adat Sarawak melalui usaha kodifikasi, kajian semula, dokumentasi serta pemodenan Adat bagi memastikan warisan natif kekal relevan dengan perkembangan sosial dan keperluan semasa.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, usaha tersebut merupakan antara peranan penting MAIS dalam memelihara dan membangunkan adat natif Sarawak.
Menurut beliau, empat draf kajian semula melibatkan Adat Iban, Adat Bidayuh, Adet Kayan dan Adet Kenyah telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAGC) untuk semakan, manakala kodifikasi Adet Melanau turut berada pada peringkat semakan SAGC.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penghargaan Sempena Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak Bil. 2/2026 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan akan menghadiri Simposium Adat Iban 2026 anjuran MAIS pada 30 September ini di Sibu, yang dijangka menghimpunkan 400 peserta terdiri daripada Ketua Masyarakat Iban serta agensi-agensi Kerajaan Sarawak.
Katanya, simposium berkenaan merupakan antara usaha memperkasa institusi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta memastikan Adat terus difahami, dihormati dan diamalkan dalam komuniti.
Bagi memperkukuh peranan MAIS, beliau turut memaklumkan penubuhan Seksyen Budaya, Tradisi dan Sejarah sebagai seksyen baharu yang bertanggungjawab melaksanakan dokumentasi berkaitan budaya, tradisi, sejarah dan warisan etnik natif majoriti di Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, Ketua Majlis MAIS, Datu Dr Neilson Ilan Mersat dan Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Datu Johnathan Lugoh. -EDISI UKAS