SELANGOR: Ledakan 190 jatuhan pin pada permainan terakhir membantu gandingan Nur Amalina Mohd Mosadad dan Willey Chagik mengesahkan pingat gangsa untuk Sarawak dalam acara Beregu Para Tenpin Boling bagi kategori TPB10+TPB10 Akhir Para SUKMA XXII Selangor 2026 di Sunway Megalanes, pada Selasa.
Pasangan Sarawak itu menamatkan enam permainan dengan 1,919 jatuhan pin untuk berada di tempat ketiga, di belakang Selangor yang mengungguli acara dengan 2,197 pin, manakala Melaka meraih perak dengan 2,014 pin.
Willey tampil lebih menyerlah pada permainan terakhir apabila menghasilkan 190 jatuhan pin, iaitu catatan tertingginya sepanjang enam permainan, sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan Sarawak di podium.
Beliau mengumpul keseluruhan 890 jatuhan pin dengan purata 148.33, selepas merekodkan 139, 121, 145, 139, 156 dan 190 pin dari permainan pertama hingga keenam.
Nur Amalina pula menjadi penyumbang utama dari segi jumlah keseluruhan apabila mengumpul 1,029 jatuhan pin dengan purata 161.50.
Atlet berkenaan membuka saingan dengan 163 pin sebelum mencatat 192 pada permainan kedua, diikuti 153, 166, 126 dan 169 pin dalam empat permainan berikutnya.
Dalam acara sama, satu lagi gandingan Sarawak, Rosserrine Issawell Manong Raymond dan Muhammad Syafiq, menamatkan saingan di tempat keenam dengan 1,787 jatuhan pin.
Muhammad Syafiq menyumbang 988 jatuhan pin dengan purata 164.67, termasuk catatan terbaiknya sebanyak 211 pin pada permainan terakhir, manakala Rosserrine mengumpul 799 jatuhan pin. -EDISI UKAS