MUKAH: Usaha memperkasa pendidikan anak-anak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian diteruskan dengan penyaluran RM37,500 menerusi insentif kecemerlangan akademik dan sumbangan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) serta institut kemahiran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, daripada jumlah tersebut, RM4,600 diberikan kepada 33 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, manakala empat guru menerima RM800 sebagai insentif penghargaan.
“Pendidikan merupakan pelaburan penting dalam membina masa depan generasi muda dan kita mahu memastikan anak-anak di kawasan ini terus mendapat sokongan dalam merealisasikan cita-cita mereka.
“Bantuan ini diharap dapat meringankan keperluan awal pengajian, selain menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus berusaha,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang STPM 2025 dan Sumbangan Melanjutkan Pelajaran ke Peringkat IPT atau Institut Kemahiran 2026 di Pusat Khidmat DUN N57 Tellian, di sini, pada Selasa.
Pada masa sama, seramai 105 pelajar menerima sumbangan berjumlah RM32,100 bagi melanjutkan pengajian ke IPT dan institut kemahiran di dalam Daerah Mukah, Sarawak serta luar Sarawak.
Royston turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang memainkan peranan penting dalam membimbing serta menyokong pelajar sehingga mencapai kejayaan.
Katanya, kecemerlangan pendidikan memerlukan kerjasama berterusan antara pelajar, keluarga dan guru bagi melahirkan generasi berilmu serta berkemahiran.
“Saya berharap semua penerima memanfaatkan peluang pendidikan yang ada untuk membina masa depan lebih baik sebelum kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat, Mukah dan Sarawak,” tambahnya.-EDISI UKAS