Dua Projek JPD Bernilai RM691,000 Perkukuh Perhubungan Di Debak
DEBAK: Kemudahan perhubungan penduduk di Rumah Panjang Merebong dan Rumah Panjang Rapong di sini bakal dipertingkat menerusi pelaksanaan dua projek menaik taraf Jalan Perhubungan Desa (JPD) dengan peruntukan keseluruhan RM691,000.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM397,000 diperuntukkan bagi projek di Rumah Panjang Merebong yang merangkumi kerja menaik taraf JPD sepanjang 1,000 meter dengan kelebaran 4.27 meter serta pembinaan parit sepanjang 300 meter bagi menambah baik sistem perparitan.
Sementara itu, projek di Rumah Panjang Rapong bernilai RM294,000 melibatkan kerja menaik taraf JPD sepanjang 910 meter dengan kelebaran 4.27 meter.
Sesi penyerahan tapak bagi kedua-dua projek berkenaan telah diadakan pada Selasa di Rumah Panjang Merebong dan Rumah Panjang Rapong, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong bertindak sebagai agensi teknikal.
Wakil Pusat Khidmat Parlimen Betong berharap segala persiapan dan kerja pembinaan dapat dilaksanakan dengan lancar serta disiapkan mengikut tempoh dan spesifikasi yang ditetapkan.
Beliau turut mengingatkan pihak kontraktor supaya memastikan pelaksanaan projek mematuhi jadual dan spesifikasi kerja, selain berharap kerjasama erat dapat diberikan oleh penduduk kedua-dua rumah panjang, pihak kontraktor serta agensi teknikal bagi memastikan kelancaran projek.
Kedua-dua projek berkenaan dijadualkan siap dalam tempoh empat bulan dan dijangka dapat meningkatkan keselesaan serta memperkukuh akses perhubungan penduduk setempat.-EDISI UKAS