SELANGOR: Hanya 28 jatuhan pin memisahkan Sarawak daripada kilauan emas apabila gandingan Azzoenickry Gajud dan Jacqueline Kaboh terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam Acara Beregu Para Tenpin Boling TPB1+TPB2/3 sempena Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 di Sunway Megalanes, pada Selasa.
Gandingan Sarawak mengumpul 1,606 jatuhan pin selepas mengharungi enam permainan, sekali gus menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pasangan Sabah yang muncul juara dengan 1,634 jatuhan pin.
Pahang pula meraih gangsa selepas mengumpul 1,544 jatuhan pin.
Jurang tipis itu menggambarkan betapa sengitnya perebutan kejuaraan apabila Sarawak kekal dalam kelompok pencabar utama sepanjang saingan sebelum emas akhirnya terlepas pada penghujung pertandingan.
Jacqueline menjadi tonggak utama Sarawak apabila mencatat 1,119 jatuhan pin dengan purata 176.50, termasuk persembahan bertenaga dalam permainan terakhir menerusi catatan tertinggi 235 pin.
Beliau turut merekodkan 163, 189, 127, 198 dan 147 jatuhan pin dalam lima permainan terdahulu untuk membantu Sarawak kekal dalam persaingan merebut kedudukan teratas.
Azzoenickry pula melengkapkan cabaran gandingan berkenaan dengan menyumbang 487 jatuhan pin sepanjang enam permainan.
Dalam pada itu, satu lagi pasangan Sarawak, Sharifah Nur Hasyimah Wan Ibarahim dan Mohamad Yakup Winei, menamatkan saingan di tempat kelima dengan 1,287 jatuhan pin.
Mohamad Yakup mengumpul 961 jatuhan pin dengan purata 160.17, manakala Sharifah Nur Hasyimah menyumbang 326 jatuhan pin sepanjang enam permainan. -EDISI UKAS