60 Peserta Rebut 10 Slot Wakili MAKSAK Sibu Dalam Pickleball
SIBU: Seramai 60 peserta bersaing merebut 10 tempat dalam pasukan pickleball Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sibu bagi menghadapi Kejohanan MAKSAK Sarawak Games 2026-Pickleball.
Sesi pemilihan yang berlangsung di gelanggang pickleball Akademi iPSS, Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu pada Isnin itu disertai kakitangan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di Bahagian Sibu.
Daripada keseluruhan peserta, lima pemain lelaki dan lima pemain wanita akan dipilih untuk membentuk pasukan rasmi MAKSAK Bahagian Sibu pada kejohanan berkenaan.
Pemilihan pemain dibuat berdasarkan beberapa aspek utama termasuk prestasi semasa, kemahiran teknikal, keupayaan permainan, tahap kecergasan, disiplin, komitmen serta semangat berpasukan.
Sesi pemilihan berkenaan turut disaksikan Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said.
Barisan pemain yang terpilih akan membawa cabaran MAKSAK Bahagian Sibu pada Kejohanan MAKSAK Sarawak Games 2026-Pickleball yang dijadualkan berlangsung di Brickfield Court, Bintulu pada 19 hingga 20 September ini.-EDISI UKAS