Keselamatan Sempadan Sarawak: Memperkasa Kedaulatan dan Kestabilan Wilayah
Pengenalan
Naratif keselamatan sempadan Sarawak bukan sekadar mewacanakan soal mengawal garis sempadan Malaysia-Indonesia. Ia turut merangkumi pembicaraan mengenai agenda kedaulatan, keselamatan rakyat, pembangunan wilayah dan hubungan dua hala yang saling berkait.
Dengan sempadan darat Sarawak-Kalimantan Indonesia yang panjang serta bentuk muka bumi yang sebahagian besarnya terdiri daripada hutan dan kawasan pedalaman, pengurusan sempadan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh daripada kawalan konvensional.
Benteng Kedaulatan
Sempadan ialah manifestasi paling nyata bahawa sesebuah negara mempunyai wilayah, undang-undang dan kuasa pentadbiran sendiri.
Bagi Sarawak, kedudukan strategiknya di utara Pulau Borneo menjadikan pengawalan sempadan penting dalam memastikan kedaulatan Malaysia tidak terhakis, sama ada melalui pencerobohan, aktiviti rentas sempadan tanpa izin atau jenayah terancang.
Namun, sempadan Sarawak bukanlah sekadar kawasan yang perlu ditutup. Ia juga merupakan ruang perhubungan antara masyarakat yang telah lama mempunyai hubungan kekeluargaan, budaya dan perdagangan merentasi sempadan.
Justeru, falsafahnya perlu beralih daripada “border control” semata-mata kepada “border management” – mengawal sempadan dengan tegas tetapi pada masa yang sama memudahkan pergerakan yang sah.
Cabaran Geografi Sarawak
Antara cabaran terbesar ialah faktor geografi. Sebahagian kawasan sempadan terletak jauh dari pusat bandar dan sukar dicapai. Hutan tebal, sungai, bukit-bukau dan jaringan jalan yang terhad boleh mewujudkan ruang yang sukar dipantau secara berterusan.
Keadaan ini boleh dimanfaatkan oleh kegiatan-kegiatan seperti: penyeludupan barang dan komoditi; kemasukan atau pergerakan tanpa dokumen sah; penyeludupan dadah; perdagangan hidupan liar; pembalakan atau perlombongan haram; pemerdagangan manusia; dan jenayah rentas sempadan yang terancang.
Oleh itu, infrastruktur keselamatan perlu bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur wilayah.
Memperkemas pintu masuk dan CIQ
Pembangunan pusat pemeriksaan sempadan yang moden – meliputi komponen Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) – menjadi semakin penting, khususnya apabila hubungan Sarawak dengan Kalimantan semakin berkembang.
Perkembangan Nusantara dan pembangunan ekonomi Kalimantan membuka peluang perdagangan, pelancongan, logistik dan mobiliti manusia yang lebih besar.
Ini bermakna pintu masuk seperti Tebedu-Entikong, Biawak-Aruk dan Lubok Antu-Badau perlu dilihat bukan sahaja sebagai pos kawalan, tetapi sebagai gerbang ekonomi dan keselamatan.
Teknologi sebagai pengganda kuasa
Sarawak mempunyai kawasan sempadan yang terlalu luas untuk bergantung sepenuhnya kepada rondaan manusia.
Masa depan kawalan sempadan harus memanfaatkan sensor, kamera pintar, dron, satelit, kecerdasan buatan (AI), analitik data, dan komunikasi maya nyata.
Pendekatan ini membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti pola pergerakan yang mencurigakan, mengesan kawasan pencerobohan dan memberi amaran awal sebelum sesuatu ancaman berkembang.
Dengan kata lain, teknologi tidak menggantikan anggota keselamatan; teknologi memperluaskan mata dan telinga mereka.
Dwifungsi jalan sempadan
Peningkatan jaringan jalan di kawasan sempadan perlu dilihat daripada perspektif pembangunan dan keselamatan serentak, iaitu, jalan yang lebih baik membolehkan rakyat bergerak lebih mudah; pada masa yang sama ekonomi berkembang lebih cepat dan pasukan keselamatan bertindak lebih pantas.
Dalam konteks ini, usaha menaik taraf jaringan jalan luar bandar dan jalan yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan sempadan mempunyai nilai strategik.
Jalan bukan sekadar infrastruktur ekonomi – ia juga merupakan infrastruktur kedaulatan.
Masyarakat sempadan sebagai barisan hadapan
Satu dimensi yang sering terlepas pandang ialah peranan penduduk tempatan.
Masyarakat yang tinggal berhampiran sempadan mempunyai pengetahuan paling dekat mengenai keadaan setempat. Mereka boleh menjadi rakan keselamatan, bukannya sekadar penerima kawalan keselamatan.
Pendekatan ini boleh diperkukuh melalui saluran pelaporan komuniti; program kesedaran keselamatan; kerjasama dengan ketua masyarakat; peningkatan kemudahan asas; peluang ekonomi tempatan; dan hubungan masyarakat rentas sempadan yang sah. Prinsipnya mudah – semakin sejahtera masyarakat sempadan, semakin kukuh benteng sosial sesebuah negara.
Kerjasama Sarawak-Kalimantan
Keselamatan sempadan tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja.
Sarawak dan Kalimantan tidak setakat berkongsi sempadan, tetapi juga berkongsi ekologi, jaringan perdagangan, sejarah dan komuniti.
Maka kerjasama antara Malaysia dan Indonesia perlu meliputi perkongsian maklumat, operasi bersama, pengurusan lintasan, pencegahan jenayah dan penyelarasan ketika berlaku kecemasan.
Dalam era Nusantara, hubungan Sarawak-Kalimantan berpotensi berubah daripada sempadan pemisah kepada sempadan penghubung. Namun, keterhubungan yang semakin erat mesti disertai sistem keselamatan yang semakin pintar.
Paradigma Baharu
Naratif keselamatan sempadan Sarawak akhirnya boleh dirumuskan melalui tiga prinsip iaitu secure (kedaulatan dan keselamatan wilayah dipertahan), connected (pergerakan sah manusia, barangan dan perkhidmatan dipermudah) dan prosperous (kawasan sempadan dibangunkan supaya penduduk tempatan menikmati manfaat ekonomi).
Inilah keseimbangan yang penting. Sempadan yang terlalu longgar boleh mengundang keancaman; sempadan yang terlalu tertutup pula boleh menghalang pembangunan.
Hubungan Sarawak-Kalimantan diyakini akan bergerak daripada hubungan jiran sempadan kepada perkongsian ekonomi dan strategik Borneo.
Sarawak dan Kalimantan Barat baru sahaja memperkukuh kerjasama melalui Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK-MALINDO). Dalam konteks Sarawak ia merupakan wadah Kerjasama dua hala antara Sarawak dengan wilayah-wilayah Kalimantan, khususnya Kalimantan Barat.
Malah, SOSEK-MALINDO yang boleh dianggap sebagai “meja rundingan tetap” Sarawak-Kalimantan terikat untuk membincangkan tujuh perkara utama iaitu normalisasi perdagangan Tebedu-Entikong; operasi pos lintas sempadan; pembangunan CIQS/ICQS; pergerakan jenazah merentas sempadan; keselamatan sempadan; pelancongan rentas sempadan; dan pertukaran budaya dan sukan.
Kesimpulan
Keselamatan sempadan perlu difahami sebagai ekosistem kedaulatan. Ia merangkumi anggota keselamatan, CIQ, jalan raya, komunikasi, teknologi, pembangunan luar bandar, kecerdasan risikan, masyarakat tempatan dan diplomasi Malaysia-Indonesia.
Dalam menghadapi perubahan geopolitik Borneo, pertumbuhan Kalimantan dan kemunculan Nusantara, Sarawak mempunyai peluang untuk membentuk model sempadan yang baharu, iaitu sempadan yang kukuh.
Kukuh dari segi keselamatan, lancar dari segi pergerakan, dan inklusif dari segi pembangunan.
Keselamatan menjadi prasyarat kepada keterhubungan, pelaburan, kemakmuran dan kestabilan Sarawak.