Taman Rekreasi Jalan Pulasan Siap, Penambahbaikan Diberi Perhatian
MIRI: Taman Rekreasi Jalan Pulasan, Senadin yang dibangunkan dengan kos RM250,000 telah siap sepenuhnya dengan kemajuan 100 peratus, namun beberapa penambahbaikan masih diberi perhatian bagi memastikan kemudahan berkenaan selamat dan selesa digunakan penduduk.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pemeriksaan selepas projek siap mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki, termasuk masalah air bertakung dan kecacatan kecil pada kemudahan taman.
Beliau berkata, pihak kontraktor masih bertanggungjawab memperbaiki kecacatan berkenaan dalam tempoh waranti sebelum wang tahanan (retention sum) sebanyak lima peratus dilepaskan.
“Projek ini masih ada waranti satu tahun. Jadi kita masih ada retention sum sebanyak lima peratus. Semua kecacatan perlu diperbaiki dahulu sebelum retention sum itu boleh dikeluarkan,” katanya ketika meninjau taman rekreasi berkenaan, pada Khamis.
Taman tersebut mempunyai tempoh kontrak selama empat bulan bermula 9 Jun 2025 dan dijadualkan siap pada 8 Oktober 2025, sebelum disiapkan sepenuhnya pada 16 Disember 2025.
Dato Sri Lee turut meminta Majlis Bandaraya Miri (MBM) memberi perhatian terhadap penyelenggaraan taman, khususnya kerja pemotongan rumput serta penyediaan tong sampah bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih.
“Saya minta bahagian penyelenggaraan dalam MMC supaya menyediakan tong sampah dan memastikan penyelenggaraan di sini dibuat dengan baik,” ujarnya.
Beliau turut meminta semua kecacatan yang dikenal pasti diperiksa semula dan diperbaiki sepenuhnya supaya kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan penduduk dengan baik dan selamat.- EDISI UKAS