SELANGOR: Muka baharu bukan sekadar melengkapkan barisan kem para renang Sarawak pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026, malah turut mencipta impak apabila skuad itu menutup tirai saingan dengan kutipan keseluruhan 25 pingat.
Daripada 27 perenang yang dibawa ke temasya kali ini, 21 merupakan atlet yang membuat penampilan sulung di Para SUKMA, sekali gus menjadikan pentas Selangor sebagai medan penting untuk membina generasi pelapis.
Sarawak menamatkan saingan empat hari di Pusat Akuatik Selangor dengan 10 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa menerusi acara individu serta berpasukan.
Pengurus Pasukan Para Renang Sarawak, Sabariah Amit berkata, pencapaian keseluruhan itu tetap membanggakan meskipun skuadnya tidak mencapai sasaran 12 pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya.
“Kami bersyukur atas prestasi keseluruhan perenang. Mereka telah memberikan yang terbaik dan memang lumrah dalam dunia sukan, menang dan kalah adalah adat.
“Walaupun kami tidak mencapai 12 emas, kami tetap berbangga kerana kami tidak jauh daripada sasaran kami,” katanya ketika ditemui Arena Suara Sarawak di Pusat Akuatik Selangor, di sini pada Khamis.
Lebih penting, kempen kali ini memberi ruang kepada muka baharu merasai sendiri tekanan dan suasana pertandingan di pentas Para SUKMA, sebelum mereka dibentuk untuk menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Para Renang Sarawak, Syarbini Kedri berkata, pihaknya berpuas hati dengan keberanian serta prestasi yang ditunjukkan atlet baharu, selain mengakui pengalaman atlet senior masih menjadi antara kekuatan utama pasukan.
“Kita sangat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan atlet baharu kerana mereka memperoleh pendedahan yang baik, tetapi untuk temasya kali ini, kami juga bergantung kepada atlet senior kami,” ujarnya.
Menurut Syarbini, perkembangan lebih positif dapat dilihat apabila beberapa muka baharu berjaya menunjukkan peningkatan prestasi berbanding catatan yang direkodkan ketika sesi latihan.
Katanya, peningkatan itu memberi petanda baik terhadap potensi barisan pelapis Sarawak selepas memperoleh pengalaman bertanding di pentas Para SUKMA.
Antara penyumbang emas Sarawak sepanjang temasya ialah Galang Jabai, Mully Andriano, Fraidden Dawan dan Rusdianto Rusmadi.
Syarbini berkata, pengalaman yang diraih atlet baharu di Selangor akan menjadi asas penting dalam pembangunan mereka bagi melahirkan lebih ramai perenang para Sarawak yang mampu bersaing pada tahap lebih tinggi. -EDISI UKAS