Tiga Emas Jadi Kejutan Manis Para Badminton Sarawak
SELANGOR: Tiga pingat emas menjadi kejutan manis buat kem para badminton Sarawak apabila berjaya menutup tirai saingan Sukan Para SUKMA Selangor 2026 dengan pencapaian yang melepasi sasaran awal.
Skuad kendalian jurulatih berpengalaman, Suhaili Laiman pada mulanya menyasarkan dua pingat emas, namun berjaya menambah satu lagi emas untuk membawa pulang keseluruhan tiga emas pada temasya kali ini.
Memetik laporan Arena Suara Sarawak, emas berkenaan diraih menerusi pemain perseorangan wanita SL4, Nursyazwani Shahrom, pemain perseorangan kerusi roda lelaki WH2, Ashley Irenaeus Jeck serta gandingan beregu campuran SL3-SU5, Nursyazwani Shahrom dan Gregory Kanyan.
Turut hadir menyaksikan seterusnya menyampaikan pingat kepada atlet Sarawak ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Suhaili berkata, pencapaian tersebut cukup menggembirakan selepas para pemain berjaya menterjemahkan segala persiapan dengan aksi terbaik di gelanggang.
Menurut beliau, kejayaan itu turut memperlihatkan komitmen tinggi yang ditunjukkan barisan pemain sepanjang persiapan sehingga temasya berlangsung.
Beliau turut memuji prestasi setiap pemain yang telah memberikan aksi terbaik dalam membantu skuad mencapai keputusan melebihi sasaran, sekali gus menjadikan tiga emas tersebut sebagai penutup yang cukup bermakna buat kem para badminton Sarawak.
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: JKM Sarawak & Muhammad Rais Sanusi