RM150,000 Diperuntuk Bina Baharu Tapak Letak Kenderaan Masjid Nur Hidayah Kampung Seruyuk
SEBUYAU: Sebanyak RM150,000 telah diperuntukkan bagi membina baharu tapak letak kenderaan Masjid Nur Hidayah Kampung Seruyuk dalam usaha meningkatkan kemudahan awam dan keselesaan masyarakat setempat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi telah menyempurnakan perasmian kemudahan tersebut pada Khamis.
Projek berkenaan mempunyai tempoh kontrak selama 16 minggu dengan tarikh milikan tapak pada 10 Mac lepas.
Kemudahan baharu itu dijangka memberi manfaat kepada jemaah masjid serta penduduk kampung, khususnya dari segi kemudahan dan keselesaan ketika menghadiri solat berjemaah, program keagamaan serta aktiviti kemasyarakatan.
Kemudahan tapak letak kenderaan yang dibangunkan itu mampu menampung sehingga 30 buah kenderaan, sekali gus membantu mengatasi masalah kekurangan ruang parkir dan memastikan pergerakan kenderaan di sekitar Masjid Nur Hidayah Kampung Seruyuk lebih teratur, khususnya ketika waktu solat dan program keagamaan. -EDISI UKAS