Padang Futsal Kampung Seruyuk Jadi Kemudahan Rekreasi Komuniti
SEBUYAU: Padang Futsal Kampung Seruyuk kini menjadi kemudahan rekreasi komuniti yang menyediakan ruang kepada penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti sukan dan riadah dalam suasana lebih selesa.
Kemudahan berkenaan dirasmikan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi di Kampung Seruyuk, di sini, pada Khamis.
Projek naik taraf Padang Futsal Kampung Seruyuk melibatkan peruntukan sebanyak RM450,000.
Penyediaan kemudahan tersebut turut memberi peluang kepada golongan belia melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang sihat, selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Padang futsal berkenaan juga boleh dimanfaatkan bagi penganjuran pelbagai aktiviti dan pertandingan sukan di peringkat kampung pada masa akan datang.
Masyarakat setempat diharap dapat menggunakan serta menjaga kemudahan berkenaan dengan sebaik-baiknya demi manfaat bersama. -EDISI UKAS