SIMANGGANG: Sambutan Pesta Pantu 2026 akan berlangsung dari 13 hingga 15 November ini di Panggau Pantu dengan pengisian 13 acara menarik.
Pegawai Daerah Pantu, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Pantu 2026, Raca Mulong berkata, antara acara utama yang bakal dianjurkan ialah Pertandingan Gendang Pampat, Pertandingan Ratu Etnik, Pertandingan Pantu Idol, Pertandingan Karaoke Kilauan Emas, Pertandingan Pantu Junior Idol serta Pertandingan Mewarna dan Melukis Poster Pesta Pantu 2026.
Menurutnya, acara lain termasuk Fun Walk Pesta Pantu 2026, Libas @ Sepak Takraw Pesta Pantu 2026, Soccer Kids Junior Bawah 12 Tahun (U12), Jualan Bazar Ria, Gerai Jualan Komuniti, Pameran Agensi dan Pentas Hiburan.
“Gerai Jualan Komuniti merupakan antara acara baharu yang diperkenalkan pada penganjuran kali ini, manakala Jualan Bazar Ria akan berlangsung lebih awal, iaitu dari 10 hingga 15 November,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pesta Pantu 2026 di Bilik Mesyuarat Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) di sini, pada Selasa.
Raca berkata, Majlis Pra-Perasmian Pesta Pantu 2026 dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi, 13 November dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.
Majlis perasmian pula akan disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan pada jam 7.30 malam, 14 November.
Sementara Majlis Penangguhan Pesta Pantu 2026 dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi, 15 November dan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie.
Sehubungan itu, Raca menyeru orang ramai agar hadir beramai-ramai ke Pekan Pantu bagi memeriahkan sambutan berkenaan serta mengambil peluang menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
Pesta Pantu 2026 yang asalnya dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 31 Ogos terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu.
Tarikh penganjuran kemudian ditetapkan semula pada 30 Oktober hingga 1 November, namun sekali lagi dipinda berikutan penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) di Kompleks Sukan Sri Aman pada tarikh yang sama.-EDISI UKAS