RM95 Juta Perkasa Infrastruktur Jalan Ladang, Manfaat Lebih 105,000 Petani
KUCHING: Lebih 105,000 petani di seluruh Sarawak dijangka menikmati akses pertanian yang lebih baik menerusi pelaksanaan lebih 300 projek jalan ladang bernilai kira-kira RM95 juta sepanjang tahun ini sekali gus membantu mengurangkan kos pengangkutan dan memudahkan pemasaran hasil tani.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan dan penambahbaikan jaringan jalan ladang sepanjang lebih 1,900 kilometer menerusi pelbagai agensi dengan sokongan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, kemudahan infrastruktur yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan petani ke kawasan pertanian, malah mempercepat penghantaran hasil ke pasaran serta mengurangkan risiko kerugian selepas tuaian.
“Kerajaan akan terus menambah baik infrastruktur jalan ladang bagi menyediakan akses perhubungan yang lebih baik kepada petani, meningkatkan kecekapan akses pasaran serta mengurangkan kos logistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM93.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi melaksanakan lapan projek infrastruktur saliran pertanian menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM19 juta telah diterima bagi tahun 2026 dengan perbelanjaan RM4.4 juta setakat ini.
Katanya, dua projek kini dalam pembinaan, manakala enam lagi berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
Selain itu, DID Sarawak turut diamanahkan mengurus peruntukan RM998.1 juta menerusi beberapa agensi pembangunan wilayah bagi melaksanakan 446 projek infrastruktur meliputi jalan ladang, perlindungan sungai dan pantai serta sistem saliran pertanian.
Projek berkenaan dilaksanakan melalui Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Pelaksanaan pelbagai inisiatif infrastruktur itu dijangka meningkatkan produktiviti sektor pertanian, memperkukuh daya tahan kawasan pertanian terhadap risiko banjir serta membuka peluang lebih luas kepada petani untuk mengkomersialkan hasil mereka.
Usaha berkenaan juga selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkasa sektor agromakanan, meningkatkan pendapatan petani dan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: George S. Embie