Eksport Sawit Sarawak Cecah RM11.5 Bilion Setakat Ogos 2026
KUCHING: Sektor komoditi dan agromakanan Sarawak terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila nilai eksport kelapa sawit meningkat kepada RM11.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, manakala industri ternakan khinzir menjana RM158.75 juta menerusi eksport 109,606 ekor pada tahun ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pencapaian itu mencerminkan keupayaan kedua-dua sektor berkenaan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, di samping memperluas pasaran eksport produk tempatan.
“Sektor agromakanan dan komoditi kita berada di landasan yang amat tepat.”
“Peningkatan hasil eksport minyak sawit serta penerokaan pasaran khinzir hidup ke Singapura dan Selangor bukan sahaja mengukuhkan pendapatan negeri, malah membuktikan produk keluaran Sarawak memenuhi standard kualiti serta biosekuriti antarabangsa yang ketat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Selasa.
Mengulas prestasi industri sawit, Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 meningkat kepada 2.6 juta tan metrik, bertambah sebanyak 317,585 tan metrik berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan itu menyumbang kepada pertambahan nilai eksport sebanyak RM1.2 bilion kepada RM11.5 bilion berbanding RM10.3 bilion bagi tempoh sama pada 2025.
Dalam tempoh berkenaan, pengeluaran Minyak Isirong Sawit Mentah (CPKO) turut meningkat 13 peratus kepada 272,210 tan, manakala pengeluaran Minyak Sawit Mentah (CPO) bertambah lapan peratus kepada 2.9 juta tan, melibatkan kawasan tanaman seluas 1.7 juta hektar.
Sementara itu, beliau berkata, industri ternakan khinzir Sarawak terus memperkukuh kedudukan dalam pasaran domestik dan antarabangsa menerusi bekalan konsisten dari Kawasan Penternakan Babi (PFA) Pasir Puteh.
Katanya, kawasan penternakan berkenaan membekalkan kira-kira 2,500 ekor khinzir hidup seminggu ke Singapura sejak 2017.
“Bagi meluaskan pasaran, Sarawak turut membekalkan 500 babi hidup seminggu ke Selangor sejak 2025,” katanya lagi.
Dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh tahap biosekuriti, Kerajaan Sarawak sedang membangunkan dua kemudahan penternakan moden, iaitu Kawasan Penternakan Babi (PFA) Selangau bernilai RM200 juta dan Ladang Babi Moden (MPF) Ensengei di Serian bernilai RM385 juta.
Kedua-dua kemudahan itu menggunakan sistem penternakan tertutup bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran serta memperkukuh kawalan penyakit ternakan.
Pembangunan tersebut turut menyokong sasaran Sarawak meningkatkan pengeluaran tahunan kepada 860,000 ekor khinzir dengan nilai RM1.5 bilion menjelang 2030.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S. Embie