Kerajaan Sarawak Jamin Pembelaan Pendidikan Anak Mangsa Nahas Helikopter Long Lellang
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak menyediakan Penajaan Bantuan Pendidikan kepada semua anak mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram bagi memastikan masa depan pendidikan mereka terus terbela.
Inisiatif atas amanah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam membantu keluarga mangsa, khususnya anak-anak yang kehilangan ibu bapa, penjaga atau punca pendapatan keluarga akibat tragedi berkenaan.
Menurut Yayasan Sarawak, penajaan itu merangkumi pelbagai bentuk bantuan pendidikan daripada peringkat sekolah rendah dan menengah sehingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam serta swasta.
Bagi peringkat persekolahan, bantuan yang disediakan termasuk Biasiswa Tempatan Yayasan Sarawak sebanyak RM800 setahun dan bantuan pakaian seragam sekolah sebanyak RM200 setahun.
Anak-anak mangsa yang mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Semenanjung Malaysia turut berpeluang menerima manfaat menerusi Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak.
Sementara itu, bagi peringkat pengajian tinggi, bantuan yang ditawarkan merangkumi Biasiswa Pinjaman Dalam Negara, Biasiswa Penuh Yayasan Sarawak serta Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,200 setahun.
Turut disediakan ialah bantuan komputer riba sebanyak RM3,000 secara sekali bayar dan bantuan baucar buku sebanyak RM300 setahun.
Selain itu, anak-anak mangsa yang mendapat tawaran daripada empat institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak turut berpeluang menikmati kemudahan pendidikan menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Bagaimanapun, semua bantuan berkenaan tertakluk kepada skop, syarat dan kadar yang diluluskan oleh Yayasan Sarawak.
Yayasan Sarawak juga menyatakan harapan agar inisiatif berkenaan dapat meringankan beban kewangan keluarga mangsa, sekali gus memastikan pendidikan anak-anak mereka tidak terjejas akibat tragedi tersebut.
Bantuan itu juga diharap menjadi sokongan berterusan kepada keluarga terlibat dalam memastikan anak-anak mangsa berpeluang meneruskan persekolahan dan pengajian demi masa depan yang lebih terjamin.
Inisiatif berkenaan sekali gus memperlihatkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan kebajikan dan peluang pendidikan anak-anak mangsa terus diberi perhatian.-EDISI UKAS