RM2.5 Bilion Diperlukan Naik Taraf Kawasan Sawah Sarawak
KUCHING: Sarawak memerlukan kira-kira RM2.5 bilion bagi menaik taraf infrastruktur pertanian untuk mengaktifkan semula kawasan sawah berpotensi, sekali gus memperkukuh pengeluaran beras tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kawasan skim pengairan dan saliran sedia ada yang meliputi kira-kira 9,900 hektar mempunyai potensi menyokong sasaran tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030.
“Hanya 11 peratus daripada kawasan berkenaan kini diusahakan secara aktif, antaranya disebabkan keadaan infrastruktur yang memerlukan penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menurut beliau, selain peruntukan RM2.5 bilion bagi menaik taraf infrastruktur, sebanyak RM60 juta diperlukan setiap tahun untuk kerja penyelenggaraan bagi memulihkan dan meningkatkan aktiviti penanaman di kawasan skim berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 23 projek infrastruktur melibatkan kawasan seluas kira-kira 2,997 hektar telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dengan jumlah kos pembangunan RM136.9 juta.
Daripada jumlah itu, RM122.9 juta dibiayai Kerajaan Sarawak bagi pelaksanaan 21 projek, manakala RM14 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk dua projek.
Usaha tersebut dijangka membantu meningkatkan penggunaan kawasan sawah sedia ada dan memperkukuh kapasiti pengeluaran beras negeri secara berperingkat.
Sarawak menyasarkan peningkatan SSL beras kepada 60 peratus menjelang 2030 menerusi peluasan kawasan penanaman, peningkatan produktiviti serta kerjasama dengan sektor swasta.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: George Embie