Projek Parit Konkrit Kampung Tanjung Pisang Siap Lebih Awal
SIMUNJAN: Projek Bina Baharu Parit Konkrit Kampung Tanjung Pisang, Simunjan bernilai RM150,000 berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
Projek yang dilaksanakan menerusi peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Parlimen Batang Sadong itu pada asalnya dijadualkan siap pada 5 Oktober 2026, namun berjaya disiapkan pada 9 September 2026.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee dalam ucapannya berpuas hati dengan hasil pelaksanaan projek yang disiapkan lebih awal dan berharap kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan serta dijaga sebaiknya oleh penduduk.
Kemudahan baharu ini dijangka dapat meningkatkan sistem perparitan serta memberi keselesaan dan manfaat kepada penduduk Kampung Tanjung Pisang.
“Pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penyediaan kemudahan asas dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya ketika majlis penyerahan tapak projek tersebut di Dewan Kampung Tanjung Pisang, di sini, pada Rabu.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya bersama-sama menjaga kemudahan parit yang disediakan serta tidak membuang sampah ke dalam parit bagi memastikan sistem perparitan sentiasa berfungsi dengan baik dan tidak tersumbat.
Ujarnya, penyiapan projek lebih awal daripada jadual tersebut mencerminkan keupayaan pelaksanaan projek yang cekap, sekali gus membolehkan manfaat kemudahan itu dinikmati lebih awal oleh komuniti setempat. -EDISI UKAS