Marcos Chang, Mohd Feroz Kekal Tenang Curi Emas Beregu TPB9
SELANGOR: Ketika tekanan memuncak dan pencabar terus mengejar rapat, gandingan Marcos Chang Hao Hong dan Mohd Feroz Hamdan memilih untuk kekal tenang sebelum menutup saingan dengan kelebihan hanya 17 jatuhan pin untuk menghadiahkan emas acara beregu para tenpin boling bagi kategori TPB9+TPB9 kepada Sarawak.
Gandingan itu menguasai kedudukan pendahulu sejak permainan pertama dan berjaya mengekalkannya sehingga permainan keenam, meskipun terus diasak beregu Selangor yang enggan mengalah sepanjang enam permainan.
Marcos dan Mohd Feroz akhirnya mengumpul 2,285 jatuhan pin, berbanding 2,268 pin oleh Selangor, manakala Perak meraih gangsa dengan 2,015 pin.
Marcos menjadi tonggak utama kejayaan itu apabila mencatat 1,257 jatuhan pin dengan purata 209.50, termasuk catatan tertinggi 243 pin pada game keempat.
Mohd Feroz pula menyumbang 1,028 jatuhan pin dengan purata 171.33, termasuk peningkatan penting pada game terakhir apabila merekodkan 199 pin.
Menariknya, walaupun berdepan tekanan hebat daripada pencabar, gandingan Sarawak tidak kehilangan rentak dan terus mengawal kedudukan sehingga tamat saingan. -EDISI UKAS