Penganjuran BDCF Ke-23 Tampil Kelainan Menerusi Persembahan Orkestra Betaboh
SIBU : Penganjuran Pesta Kebudayaan Dayak Borneo (BDCF) edisi ke-23 menampilkan kelainan menerusi persembahan Orkestra Betaboh yang menghimpunkan lebih 20 pemuzik berbanding tradisi asal yang hanya membabitkan empat pemain instrumen.
Penyelaras Utama Pentas Dayak, Kaunselor Augustine Merikan berkata, penglibatan pemuzik yang ramai itu memberi pendekatan berbeza terhadap persembahan berkenaan walaupun tetap mengekalkan instrumen asal.
"Persembahan tradisional Betaboh menggunakan instrumen seperti gong, beduk, engkerumong dan bebendai, manakala penglibatan lebih ramai pemuzik dalam orkestra kali ini memberi pendekatan berbeza terhadap persembahan tersebut.
"Masyarakat Dayak bagaimanapun mengekalkan nama BDCF bagi penganjuran di pentas ini sebagai usaha mempertahankan nilai serta jati diri kebudayaan kami," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penganjuran Pesta Kebudayaan Dayak Borneo (BDCF) di sini pada Isnin.
Tambah beliau, penganjuran BDCF yang mengetengahkan tema 'Echoes of Borneo' itu turut menjadi platform penting dalam memelihara warisan tradisi serta mengeratkan perpaduan masyarakat.
"Daripada usaha secara kecil-kecilan, ia kemudian berkembang menjadi Borneo Extravaganza sebelum dikenali sebagai Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) pada 2004," katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pengisian program tersebut turut merangkumi aspek kesedaran alam sekitar melalui penggunaan maskot rasmi acara.
"Penggunaan Engkuli sebagai maskot membawa mesej mengenai kepentingan melindungi hidupan liar serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan fauna dan habitatnya.
"Pengisian berkenaan melengkapkan penganjuran BDCF yang mengetengahkan aspek seni, kebudayaan dan penyertaan masyarakat dalam satu acara," katanya.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak William Anut, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting dan Temenggong Stanley Geramong Bandar. -EDISI UKAS