KUCHING: Industri gastronomi Sarawak terus diperkasakan sebagai salah satu identiti utama bandar raya ini apabila komuniti kulinari berkumpul dalam Majlis Makan Malam Amal Ulang Tahun ke-3 Sarawak Gourmet Association bertemakan “Rainforest Empurau Night”.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, yang mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, hadir menyempurnakan majlis serta menyampaikan amanat bagi pihak beliau.
Dalam ucapannya, Dato Wee menegaskan bahawa pengiktirafan Kuching sebagai UNESCO Creative City of Gastronomy bukan sekadar pengiktirafan simbolik, sebaliknya membawa tanggungjawab besar kepada semua penggiat industri makanan dalam memelihara imej dan reputasi bandar raya ini di peringkat antarabangsa.
“Setiap hidangan, setiap persembahan dan setiap interaksi mencerminkan siapa kita. Ia boleh mengukuhkan nama Kuching atau sebaliknya memberi kesan kepada reputasi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berkenaan di Grand Riverine Ballroom, pada Rabu.
Ujarnya, setiap chef dan pasukan kulinari yang mewakili Kuching ke luar negara bukan sahaja membawa nama individu atau organisasi, tetapi turut membawa nama Sarawak serta imej bandar raya Kuching sebagai sebuah destinasi gastronomi bertaraf dunia.
Menurut beliau, dalam era digital masa kini, sebarang tindakan atau kejadian boleh tular dalam tempoh singkat, sekali gus menjadikan tanggungjawab sebagai wakil Kuching lebih penting dan perlu dilaksanakan dengan penuh disiplin.
Selain itu, beliau menggesa agar semua pihak dalam industri kulinari terus memperkukuh kerjasama tanpa mengira persatuan atau latar belakang, sebaliknya bergerak sebagai satu pasukan yang mewakili Kuching dan Sarawak secara keseluruhan.
Dato Wee turut menekankan bahawa setiap hidangan Sarawak bukan sekadar makanan, tetapi mempunyai nilai cerita yang merangkumi sumber bahan, komuniti penghasil serta usaha pemeliharaan warisan untuk generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan sokongan terhadap usaha melahirkan lebih ramai chef muda melalui bimbingan dan pementoran oleh penggiat industri berpengalaman bagi memastikan standard kulinari terus dipertingkatkan.
Mengulas tema “Rainforest Empurau Night”, beliau berkata ia mencerminkan kepentingan sumber asli dan bahan tempatan Sarawak yang perlu diurus secara lestari serta dihargai oleh semua pihak.
Tegas beliau, kejayaan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO hanya dapat dicapai melalui kerjasama menyeluruh merangkumi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, penggiat industri, petani, institusi pendidikan serta komuniti.
“Apabila kita mewakili Kuching, berikan yang terbaik. Kita bukan hanya membawa makanan, tetapi membawa maruah bandar raya ini,” katanya.-EDISI UKAS