Sungai Lubok Embawang Berpotensi Jadi Tarikan Rekreasi Pakan
PAKAN: Sungai Lubok Embawang berpotensi diketengahkan sebagai salah satu lokasi rekreasi dan pelancongan berasaskan alam semula jadi yang menarik di kawasan Pakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, keindahan alam semula jadi yang terdapat di kawasan berkenaan wajar dimanfaatkan dan diperkenalkan kepada lebih ramai pengunjung.
“Dengan siapnya jalan menuju ke sungai, Sungai Lubok Embawang kini semakin mudah dikunjungi penduduk sekitar kerana mempunyai kawasan sungai yang amat cantik untuk aktiviti santai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perasmian Jalan menuju ke Sungai dan Program Santai Bersama Inkumben di Rumah Panjang Bikas, pada Selasa.
Menurutnya, penyediaan kemudahan jalan berkenaan bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membuka ruang untuk Sungai Lubok Embawang dikembangkan sebagai lokasi rekreasi yang lebih dikenali pada masa akan datang.
Tan Sri William Mawan yang juga Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) menambah, Pakan mempunyai banyak lokasi menarik yang berpotensi diketengahkan, khususnya kawasan yang menawarkan keunikan alam semula jadi dan sesuai untuk aktiviti riadah.
Katanya, kawasan Wong Kuji yang mempunyai tarikan air terjun turut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai lokasi rekreasi yang mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar Pakan.
Beliau berkata, pembangunan lokasi-lokasi berpotensi secara terancang dan teratur bukan sahaja dapat memperkenalkan keindahan alam semula jadi Pakan, malah berupaya membuka peluang ekonomi baharu serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Sementara itu, usaha menambah baik akses ke lokasi itu disokong menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM70,000 bagi kerja baik pulih jalan menuju ke Sungai Lubok Embawang.-EDISI UKAS