SUPP Bawang Assan Santuni Penduduk Tanjung Kunyit, Kumpul Aduan Masalah Komuniti
SIBU: Pasukan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan telah mengadakan lawatan mesra dari rumah ke rumah di sekitar Tanjung Kunyit bagi mendengar dan mengumpul maklum balas berkaitan pelbagai isu infrastruktur serta keselamatan yang dihadapi penduduk setempat.
Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, usaha turun ke lapangan dan berinteraksi secara langsung bersama isi rumah merupakan antara pendekatan paling berkesan untuk memahami keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.
“Lawatan dari rumah ke rumah ini membolehkan pasukan kami mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai masalah praktikal yang dihadapi penduduk dalam kehidupan seharian.
“Pendekatan ini juga membantu kita mengenal pasti pelbagai isu komuniti yang berkemungkinan terlepas pandang sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai program Lawatan Mesra dari Rumah ke Rumah di Tanjung Kunyit di sini pada Selasa.
Menurut Kaunselor Kevin Lau, segala maklumat dan dapatan yang diperolehi sepanjang tinjauan tersebut akan didokumentasikan untuk tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa berkenaan.
“Pasukan kami akan mengumpul serta menyusun setiap maklum balas yang diterima, kemudian maklumat ini akan disalurkan kepada agensi berkaitan bagi membolehkan penilaian dan tindakan susulan diambil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa perhatian terhadap kesejahteraan komuniti perlu bermula daripada perkara asas yang menjejaskan kehidupan harian penduduk.
“Isu-isu seperti gangguan liputan telefon bimbit, kawat elektrik kendur, jalan berlubang serta kemudahan keselamatan yang menjejaskan pergerakan seharian adalah perkara yang amat penting untuk diberi perhatian secara berterusan.
“Pihak kami akan meneruskan siri lawatan lapangan seperti ini bagi memastikan suara dan keperluan penduduk di pelbagai kawasan dapat disalurkan menerusi saluran yang betul,” katanya.
Turut hadir Kaunselor Yong Ing Hock, Kapitan Chew Hoo Kiong, Penghulu Yong King Sung serta Kapitan Ting Siew Kiew. -EDISI UKAS