Galang Tutup Tirai Para SUKMA Dengan Emas, Rekod Baharu
SELANGOR: Perenang para Sarawak, Galang Jabai menutup penampilan terakhirnya di pentas Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) dengan penuh bergaya apabila bukan sahaja meraih pingat emas, malah mencipta rekod baharu dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu S6/S7 lelaki pada Para SUKMA XXII Selangor 2026.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Galang apabila emas berkenaan merupakan pingat emas individu pertamanya pada temasya kali ini, sekali gus menjadi hadiah perpisahan istimewa sebelum beliau menamatkan karier sebagai atlet Para SUKMA.
Galang mengakui berbangga dengan pencapaian tersebut selepas sentuhan di garisan penamat bukan sahaja membawanya ke podium tertinggi, malah menyaksikan namanya tercatat sebagai pemegang rekod baharu acara berkenaan.
“Memang saya gembira kerana berjaya memecahkan rekod walaupun saya tidak tahu siapa yang memegang rekod sebelum ini, tetapi bagi saya, saya sangat bangga dengan apa yang saya capai hari ini.
“Memang puas hati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan di Pusat Akuatik Selangor di sini pada Rabu.
Di sebalik kegembiraan tersebut, Galang mengesahkan Para SUKMA kali ini merupakan penampilan terakhirnya sebelum bersara daripada temasya berkenaan.
“Last, pencen lah,” katanya ringkas.
Bagaimanapun, perjuangannya masih berbaki apabila beliau dijadualkan turun dalam satu lagi acara berganti-ganti yang bakal menjadi perlumbaan terakhirnya bersama rakan sepasukan.
Mengimbas perjalanan kariernya, Galang turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan dan barisan jurulatih yang sentiasa menjadi tulang belakang serta memberikan sokongan sepanjang penglibatannya dalam sukan para renang.
“Saya berterima kasih atas sokongan keluarga, rakan-rakan dan jurulatih, tidak lupa juga semua yang membantu saya selama ini.
“Bagi saya memang puas hati. Agi Idup Agi Ngelaban,” katanya.
Dalam pada itu, Galang turut menitipkan pesanan kepada generasi baharu supaya berani menonjolkan bakat dan tidak membiarkan perasaan malu atau segan menjadi penghalang untuk mencipta kejayaan.
Dengan satu lagi acara berganti-ganti menanti, Galang kini berpeluang menambah satu lagi kenangan manis bersama skuad Sarawak sebelum menutup tirai perjuangannya di pentas Para SUKMA. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi