Sarawak Delta, Jeonbuk Perkukuh Kerjasama Geopark Menerusi MoU di Langkawi
LANGKAWI: Sarawak Delta UNESCO Global Geopark (UGGp) mengorak langkah memperkukuh jaringan antarabangsa apabila memeterai kerjasama strategik dengan Jeonbuk West Coast UNESCO Global Geopark dari Republik Korea menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Simposium Asia Pacific Geoparks Network (APGN), di sini, pada Rabu.
Kerjasama tersebut membuka ruang kolaborasi dalam pembangunan dan pengurusan geopark secara mampan, termasuk aspek pendidikan dan latihan, pemuliharaan, pemerkasaan komuniti serta pelancongan lestari, sekali gus memperkukuh peranan kedua-dua geopark sebagai hab serantau dalam bidang berkenaan.
Sarawak Delta UGGp diwakili oleh Irmadiana Ardi bagi pihak Pengarah Jabatan Hutan Sarawak merangkap Pengurus Sarawak Delta UNESCO Global Geopark, Datu Hamden Mohammad, manakala Jeonbuk West Coast UGGp diwakili Ketua Pengarah Biro Alam Sekitar dan Perhutanan Negeri Jeonbuk, Soon Teag Lee.
Majlis pertukaran MoU tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Julin Alen.
Menerusi kerjasama ini, Sarawak Delta UGGp berpeluang menimba pengalaman daripada Jeonbuk West Coast yang diiktiraf sebagai kawasan Multi-Internationally Designated Area (MIDA), selain turut memegang beberapa pengiktirafan global seperti Tapak Warisan Semula Jadi Dunia UNESCO, Rizab Biosfera UNESCO dan Tapak Ramsar.
Pengiktirafan bertindih ini mencerminkan nilai ekologi, geologi dan biodiversiti bertaraf dunia yang dimiliki oleh kawasan tersebut, sekali gus menjadi rujukan penting dalam pendekatan pengurusan bersepadu.
Sementara itu, Soon Teag Lee menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai langkah positif ke arah membina masa depan lebih mampan antara kedua-dua geopark.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap keindahan landskap Malaysia serta berharap delegasi Sarawak Delta berpeluang mengadakan lawatan balas ke Jeonbuk bagi meneroka sendiri keunikan geopark berkenaan.
MoU ini dijangka memperkukuh pertukaran kepakaran, penyelidikan bersama serta amalan terbaik dalam pengurusan geopark, sekali gus menyumbang kepada pembangunan lestari dan pemeliharaan khazanah alam di peringkat global.-EDISI UKAS