Keselamatan Penerbangan FDS Perlu Dinilai, Diperkukuh
MIRI: Tragedi nahas helikopter berhampiran STOLport Long Lellang yang meragut lima nyawa mencetuskan keperluan untuk menilai semula dan memperkukuh aspek keselamatan penerbangan dalam operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, insiden berkenaan perlu menjadi titik tolak kepada usaha penambahbaikan menyeluruh terhadap langkah keselamatan operasi FDS, khususnya dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti luar bandar dan pedalaman.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga juruterbang serta empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terkorban ketika melaksanakan tugas memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
“FDS merupakan talian hayat kritikal bagi komuniti luar bandar dan pedalaman. Petugas perubatan serta kru penerbangan yang terlibat sedang melaksanakan tanggungjawab penting, dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Terdahulu, beliau yang tiba di Miri dari Kuching sekitar jam 8.20 malam pada Selasa terus ke Pusat Operasi Kecemasan di Lapangan Terbang Miri bagi menghadiri taklimat dan mesyuarat penyelarasan berkaitan insiden berkenaan, termasuk aspek logistik serta pengangkutan.
Beliau turut meluangkan masa bertemu ahli keluarga mangsa bagi menyampaikan perkembangan terkini serta memberi jaminan bahawa sokongan berterusan akan diberikan kepada mereka.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee menegaskan bahawa punca nahas perlu ditentukan menerusi siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia dan menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) juga sedang bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam memperkasakan kesedaran mengenai keselamatan penerbangan, termasuk meneroka peluasan inisiatif berkenaan kepada petugas kesihatan yang kerap menggunakan perkhidmatan udara ke kawasan pedalaman.
“Aspek keselamatan penerbangan tidak seharusnya terhad kepada juruterbang dan operator sahaja, tetapi turut melibatkan penumpang serta petugas yang bergantung kepada pengangkutan udara bagi melaksanakan perkhidmatan penting,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan kesinambungan perkhidmatan FDS perlu terus diberi perhatian memandangkan komuniti luar bandar sangat bergantung kepada perkhidmatan udara untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
“Kita perlu memastikan akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti luar bandar terus terpelihara, sambil pihak berkuasa menjalankan siasatan serta penilaian keselamatan secara menyeluruh.
“Fokus kita adalah untuk mengambil pengajaran daripada tragedi ini, memperkukuh sistem sedia ada dan memastikan mereka yang berkhidmat kepada rakyat dapat menjalankan tugas dalam persekitaran paling selamat,” ujarnya.-EDISI UKAS