Lima Mangsa Nahas Helikopter Long Lellang Dikenal Pasti
MIRI: Kesemua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Baram telah dikenal pasti.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mangsa ditemukan di dalam bangkai helikopter yang terhempas dan terbakar, dengan tiada jasad mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna.
“Pengecaman awal dibuat menerusi barangan peribadi yang ditemukan pada jasad mangsa, cebisan pakaian dan kedudukan tempat duduk mangsa.
"DNA waris telah diambil bagi proses pengecaman, manakala jasad mangsa diterbangkan dari Long Lellang ke Miri untuk dibawa ke Hospital Miri bagi tujuan bedah siasat dan ujian DNA,” katanya semasa sidang media Kemalangan Helikopter 9M-LLF di Long Lellang di Lapangan Terbang Miri, hari ini.
Mangsa terdiri daripada juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, Pegawai Perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40 dan Jessie Paya Jok, 44.
Beliau melahirkan rasa dukacita atas tragedi berkenaan dan menyifatkan kesemua mangsa sebagai perwira yang telah memberikan khidmat kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar Sarawak.
“Mereka ini merupakan perwira kita yang memberikan khidmat kepada penduduk di luar bandar,” katanya.
Datuk Mohamad Zainal berkata, berdasarkan siasatan awal, beberapa saksi melihat kepulan asap dan api pada helikopter sebelum ia terhempas ketika menghampiri Long Lellang.
Bagaimanapun katanya, helikopter berkenaan tidak dilengkapi 'voice recorder' dan kotak hitam, manakala setakat ini polis tidak mempunyai maklumat mengenai sebarang panggilan kecemasan daripada juruterbang sebelum kejadian.
Beliau berkata, siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar nahas akan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan, manakala PDRM menjalankan siasatan berkaitan kematian mengejut.
Menurut Datuk Mohamad Zainal, helikopter berkenaan berlepas dari Miri pada jam 10.21 pagi pada Selasa sebelum mendarat di Ba’ Lai pada jam 11.39 pagi bagi melaksanakan tugasan FDS.
Helikopter itu kemudian berlepas menuju Long Siut, Selungo pada jam 1.41 petang dan mendarat di Long Siut pada jam 1.50 petang bagi tujuan mengisi minyak.
“Pada kira-kira jam 3.21 petang, helikopter berkenaan dipercayai mengalami kemalangan ketika hendak mendarat di landasan terbang Long Lellang sebelum terhempas di hujung landasan tersebut,” katanya.
Beliau menambah, helikopter model BO 105 S (CBS 5) buatan Jerman dan keluaran tahun 1991 itu telah digunakan untuk membawa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sarawak selama 17 tahun sejak 2009.
Sepanjang tempoh itu, helikopter berkenaan menjalankan operasi bagi menyokong keperluan perkhidmatan kesihatan khususnya di Miri, Bintulu, Limbang, Marudi dan Bario.
Datuk Mohamad Zainal berkata, helikopter tersebut kali terakhir menjalani penyelenggaraan pada Ogos lalu dan selepas penyelenggaraan itu, ia mempunyai tempoh operasi sehingga 100 jam penerbangan sebelum penyelenggaraan seterusnya.
Dalam pada itu, seramai 67 anggota dan petugas pelbagai agensi terlibat dalam operasi susulan kejadian berkenaan, termasuk 19 anggota PDRM, 15 anggota Bomba, dua petugas KKM, 15 anggota PGA Batalion 12 serta anggota agensi lain.
Operasi berkenaan turut disokong empat pesawat dan lima kenderaan pacuan empat roda, termasuk dua helikopter PDRM, sebuah helikopter Bomba dan sebuah pesawat Caravan PDRM Cessna 208.
Siasatan di lokasi kejadian dijalankan bersama Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sarawak, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta pasukan STORM Bomba dan Penyelamat Zon Miri.— EDISI UKAS