LAWAS: Masyarakat digalak mendalami seni bacaan Al-Quran berlagu atau tarannum bagi meningkatkan penguasaan teknik bacaan yang betul, teratur dan indah.
Johan Qari Negeri Sarawak, Mohd Safwan Mahli berkata, penguasaan tarannum perlu disertai kaedah bacaan yang tepat bagi memastikan alunan ayat suci Al-Quran dilakukan dengan baik.
“Tarannum bukan sekadar memperindah alunan bacaan, tetapi perlu dipelajari dengan kaedah yang betul supaya peserta dapat menguasainya dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kelas Tahsin Tilawah Al-Quran II anjuran Ikatan Qurra’ Lawas (IQLAS) di Hotel Seri Malaysia, di sini, pada Sabtu.
Menurut Mohd Safwan, pembelajaran tarannum secara teratur dapat membantu peserta memahami teknik bacaan dengan lebih baik, selain meningkatkan keyakinan ketika mengalunkan ayat suci Al-Quran.
Katanya, seni bacaan berlagu turut menjadi salah satu pendekatan untuk menyemarakkan minat masyarakat terhadap Al-Quran, khususnya dalam kalangan mereka yang ingin memperbaiki dan memperkemas bacaan.
Kelas berkenaan memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik tarannum secara lebih mendalam menerusi bimbingan pengajar berpengalaman.
Program kali kedua itu terbuka kepada semua peringkat umur dengan penyertaan secara percuma.- EDISI UKAS